Akar Umbi UMNO Tonggak Kejayaan Parti – Dira Abu Zahar

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Khaidhirah Datuk Abu Zahar amat menghargai semangat akar umbi yang tinggi kerana baginya kekuatan UMNO terbit dari akar umbinya yang sentiasa konsisten memperjuangkan parti.

Ujarnya, jika bukan kerana ahli akar umbi, parti keramat ini tidak mungkin mampu berdiri teguh selepas dihempas ombak kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lepas.

“Kekalahan yang lepas adalah sebuah nota pengajaran buat kita semua. Ternyata kekalahan itu mengajar kita agar mempelajari sesuatu yang sangat penting dalam memastikan UMNO sentiasa menjadi wadah serta harapan rakyat.

“Kini, UMNO dalam Muafakat Nasional menjadi satu aspirasi baharu rakyat berbilang kaum sebagai satu-satunya harapan rakyat untuk untuk melabuh cita-cita nusa dan semua bangsa.

“Dalam usia yang begitu muda untuk bertindak sebagai pembangkang, UMNO telah menjadi semakin matang menjuarai isu rakyat di parlimen mahupun di setiap ruang digital. Buktinya, banyak kejayaan terhasil dari desakan pembangkang seperti isu berkenaan ICERD, statut rome dan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah tambahnya lagi, UMNO masih mampu bertahan biarpun ‘terusik’ dengan pelbagai kerenah dalaman parti, termasuklah pelbagai masalah ‘salah faham’ yang membungkam antara kepimpinan parti.

“Kerana kuatnya UMNO, kita masih mampu memikul badai kerana setiap ahli UMNO masih faham akan makna sebuah perjuangan.

“Spekulasi demi spekulasi, fitnah diselangi penghinaan, khabar angin yang datang dari pelbagai sudut dan condong, serta pelabagai lagi kesilapan percaturan dan silap kata menjadi asam garam dalam perjuangan parti ini.

“Kadang adanya langkah menjadi tersadung lalu tersungkur, namun kita percaya ia adalah rencah yang mengisi perjalanan perjuangan yang tulen,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang penting adalah semangat yang lahir dari jiwa, serta nawaitu setiap ahli UMNO demi memikul tanggungjawab dalam memartabatkan agama dan bangsa.

“Setiap perbedaan dan kepelbagaian dalam UMNO, kita raikan dengan harmoni dan terbuka.

“Budaya hormat menghormati antara kita, ahli UMNO perlu menjadi nilai paling utama.

“Keikhlasan dalam perjuangan juga perlu menjadi pedoman penting dalam setiap langkah perjuangan ini,” katanya.

Seterusnya jelas Khaidhirah yang lebih dikenali dengan nama Dira, kepercayaan yang diberi akar umbi terhadap barisan kepimpinan, haruslah disulami dengan kejujuran kepimpinan itu sendiri dalam menggalas amanah di setiap peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap lapisan ahli di seluruh negara yang masih terus bersama dengan perjuangan UMNO ini.

“Sedarilah bahawa setiap di antara kita ini hanya mahukan yang terbaik untuk semua khususnya untuk agama dan bangsa yang kita sayangi ini.

“Ingatlah bahawa perjuangan ini bukan untuk sehari dua, malah bukan jua untuk setahun dua, tetapi ianya untuk selamanya sehingga ke nafas terakhir kita,” tegasnya juga.

Dira turut mengucapkan salam perjuangan untuk semua ahli dan penyokong UMNO dan selamat bersidang untuk semua cawangan UMNO di seluruh negara.

Untuk rekod, tempoh persidangan cawangan UMNO seluruh negara bermula pada 15 Feb lalu dan berakhir 19 April nanti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.