PH: Dulu Semua Dicerca… Kini Satu Demi Satu Hancur – Annuar

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pelbagai isu berbangkit membabitkan kepentingan rakyat timbul kebelakangan ini khususnya sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa telah melahirkan rasa kesal ekoran terdahulu semua yang dilakukan oleh kerajaan dianggap tidak betul dan diwujudkan pelbagai persepsi buruk namun akhirnya apabila mendapat kuasa sebaliknya yang berlaku.

“Semua kerja orang lain dicerca untuk membina persepsi buruk pihak lawan. Bercakap macam tersangat pandai… tinggilah harapan… akhirnya apa yang sendiri urus, satu demi satu hancur. Hutang… jual… tutup… kuncup… rugi… hapus… macam-macam istilah. Rakyat yang derita,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya.

Dilaporkan, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), PH telah membina persepsi kononnya negara akan bankrap dengan keadaan ekonomi yang berlaku namun hari ini di bawah pentadbiran PH, Bank Negara mengumumkan Ekonomi Malaysia hanya meningkat 3.6% pada suku keempat 2019, iaitu kadar yang paling lemah sejak 10 tahun lalu.

Ini ditambah lagi dengan kehidupan sosial rakyat yang terhimpit setelah pelbagai bantuan dihapuskan ekoran terpengaruh dengan pelbagai janji PRU-14 lalu antaranya harga minyak di bawah RM1.50, tol akan dihapuskan, peluang pekerjaan untuk anak muda, gaji minimum RM1,500, hutang PTPTN akan dimansuhkan, harga barang akan turun dan macam-macam lagi.

Bukan itu saja, Tabung Haji yang cemerlang di bawah pentadbiran BN juga dimanipulasi dengan pelbagai tuduhan hinggakan rakyat terpedaya namun hari ini di bawah PH terbukti merekalah yang gagal mengurus kepentingan masyarakat Islam hinggakan pelbagai aset dijual atas pelbagai alasan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.