Cek RM6 Juta, Sumbangan Politik Tiada Kaitan Dengan Zahid Hamidi – Saksi

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh saksi ke-34 bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menerima rasuah dan jika ada dakwaan seumpama itu ia adalah fitnah.

Pengarah Datasonic Sdn Bhd dan juga Penasihat Saranakencana Sdn Bhd, Chew Ben Ben berkata demikian dalam prosiding perbicaraan Dr Ahmad Zahid.

Beliau memberitahu mahkamah dua cek yang bernilai RM 5 juta dan RM1 juta yang diberikan oleh pemegang saham Datasonic Sdn Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin adalah sumbangan politik untuk kegiatan CSR dan amal jariah kepada Dr Zahid Hamidi dan bukannya rasuah.

Justeru, sumbangan tersebut untuk kebajikan seperti membangunkan masjid-masjid, sumbangan kepada anak-anak yatim dan perkara-perkara yang berkaitan dengan amal jariah.

Malah sumbangan amal jariah tersebut diseliakan oleh Yayasan Akalbudi untuk membantu golongan yang memerlukan.

Peguam: Betulkah sumbangan ini tidak ada kena mengena dengan politik, tetapi kebajikan?

Saksi: Setuju.

Peguam: Cek ini telah diberikan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk amal jariah, adakah betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Jadi Encik setuju ke tidak jika cek ini untuk amal jariah?
Saksi: Setuju

Encik Chew juga bersetuju dengan kenyataan peguam bahawa dua cek yang diberikan itu setahun lebih awal daripada tarikh Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, ia untuk sumbangan politik kerana rasa terima kasih syarikat kepada kerajaan yang mewujudkan kestabilan politik bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan baik.

Peguam: Cuba baca pada mahkamah tarikh cek tersebut.

Saksi: 25 April 2017

Peguam: Cek ini setahun lebih awal dari Pilihan Raya Umum (PRU)?

Saksi: Ya

Peguam: Sekali lagi saya nyatakan bahawa sumbangan itu tiada kena mengena politik cuma bermaksud untuk kebajikan dan sebagainya.

Saksi: Ya, setuju.

Peguam: Kenapa Encik Chew bersetuju?

Saksi: Wang bukan untuk dia (Zahid Hamidi) tetapi wang untuk kebajikan.

Peguam: Sumbangan dalam cek tidak ada kaitan dengan politik tetapi amal jariah.

Saksi: Ia tidak ada sangkut paut dengan politik sebab ia diberikan setahun setengah sebelum PRU.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.