Tabung Haji: Dulu Tuduh BN… Tapi Kini Semua Aset PH Nak Jual

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata dahulu pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) melemparkan pelbagai dakwaan tidak benar terhadap Barisan Nasional (BN) yang kononnya telah merosakkan Tabung Haji (TH) sehingga rakyat terpedaya, tetapi hari ini lihat sendiri siapa yang ‘merosakkan’ TH?

Jelasnya, TH Plantation telah menjual aset dan ladangnya pada bulan lalu dan kini nampaknya giliran sektor perhotelan dan hospitaliti milik TH pula yang ‘dijual’.

“Berpuluh tahun kerajaan BN berusaha membina TH, menambah jumlah aset dimiliki TH yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pendeposit TH, namun kini baru dua tahun mengambil alih nampaknya kepimpinan kerajaan PH seperti berlumba-lumba mahu ‘menjual’ dan melepaskan aset TH.

“Tahun lalu saja lebih RM1 bilion saham dan aset TH telah dijual. Setakat tahun ini pula TH telah menjual ladang dan terbaru empat hotel di bawah kendaliannya iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel And Convention Centre Alor Setar serta TH Hotel And Convention Centre Terengganu ditamatkan operasi dan akan berpindah milik kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd berkuat kuasa April.

“Habis mahu dijualnya… selepas ini aset TH yang mana pula akan ‘dijual’ dan ‘dilepaskan’ oleh kerajaan PH? Kenapa galak sangat mahu jual aset milik TH?” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook berkaitan TH yang telah menamatkan operasi perhotelan yang di bawah Kumpulan TH.

Tambah Mustafa lagi, yang lebih terkesan tentunya kakitangan di empat hotel yang dipindah milik itu kerana mereka akan ditawarkan Skim Penamatan Pekerjaan.

“Sebelum menang Pilihan Raya Umum (PRU) 14, PH telah menjanjikan 1 juta peluang pekerjaan, namun selepas dua tahun mentadbir nampaknya lebih ramai yang hilang pekerjaan.

“Sudahlah satu-satu aset dijual, ekonomi negara semakin tidak menentu, rakyat pula makin ramai hilang pekerjaan. Oh PH…,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.