Muafakat Nasional Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan Alternatif Kerajaan Hari ini

 

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Muafakat Nasional perlu membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan terhadap kerajaan yang ada pada hari ini dan kerana dasar itu jugalah Muafakat Nasional perlu diperkasakan dan berdiri atas kekuatannya sendiri.

Menurut beliau kerajaan hari ini sepertimana diketahui umum sudah lagi tidak diyakini oleh pelbagai pihak khususnya kekecewaan rakyat terhadap mereka yang dilihat tidak berwibawa dan akhirnya rakyat melihat apa alternatif yang perlu ada untuk menggantikan kekecewaan ini.

“Kita sudah pasti akan buat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan kepada kerajaan yang ada pada hari ini. Kita tidak tahu apa berlaku pada bulan Mei, jadi atau tidak perdana menteri ke-8, kita pun tidak tahu, kalau kita tahu senang dan lagi pun kita bukan kerajaan kerana sebagai kerajaan kita tahu bubar bulan enam atau bulan lapan.

“Tiba-tiba bubar bulan depan dan kita tidak buat persediaan sudah pasti ianya susah. Sebagai parti pembangkang kita kena bersiap sedia dalam semua keadaan untuk kita menghadapi sebarang kemungkinan dan yang penting, saya mengharapkan rakyat letaklah kepercayaan kepada kita dan saya cukup yakin… baik PAS, UMNO kita sama sekali tidak akan menggadaikan parti ini bagi menjayakan kepentingan politik individu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada progam Hujah terbitan Penerangan UMNO yang turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Ust Fathul Bari Mat Jahaya.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya menegaskan rakyat hari ini sudah melihat bahawa kerajaan yang ada sudah tidak melaksanakan dan hanya melontarkan janji-janji yang tidak munasabah, malah menyediakan manifesto tanpa kajian serta memberikan alasan kerajaan terdahulu meninggalkan masalah yang banyak.

Maka tambahnya lagi sudah banyak berlaku kekecewaan dan kemarahan dikalangan rakyat yang akhirnya rakyat melihat apa alternatif perlu ada untuk menggantikan kekecewaan ini.

“Pada waktu itu PAS dengan UMNO sendiri akhirnya mengemukakan satu gagasan baru yang akhirnya dilihat oleh rakyat … oh, inilah parti politik, inilah satu bentuk gabungan yang dipercayai untuk segera menggantikan kerajaan hari ini.

“Sebab itu akhirnya ia menjadi faktor yang menyebabkan penerimaan rakyat kepada Muafakat Nasional begitu cepat sekali dan disokong pula oleh kedua-dua pemimpin parti yang benar-benar secara ikhlas untuk mewujudkan satu pakatan yang baik… itu menunjukkan bahawa kita diterima.

“Namun kita tidak boleh menjadikan Muafakat Nasional ini hanya diterima oleh rakyat kerana mereka kecewa kepada kerajaan hari ini. Muafakat Nasional ini mesti berdiri dengan kekuatannya sendiri serta dilihat hebat dan benar-benar berkemampuan untuk menggantikan kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, Muafakat Nasional mesti diperkukuhkan untuk dihidangkan kepada rakyat bahawa inilah gagasan terbaik yang bukan hanya berkeupayaan untuk menjaga kepentingan orang Melayu atau Bumiputera sahaja tetapi gabungan yang mampu menjadi alternatif terbaik bagi menjaga kepentingan Sabah, Sarawak  dan seluruh rakyat negara ini.

“Kita perlihatkan Muafakat Nasional ini serius kepada rakyat… sebab itu kita adakan retreat untuk kita bincang serta perhalusi apa yang kita beri dan hidangkan kepada rakyat. Strukturnya sudah ada tetapi sudah pasti apa buah tangan yang kita beri kepada rakyat untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kerajaan hari ini,” tambahnya lagi.

Dilaporkan, Muafakat Nasional akan mengadakan retreat tertinggi diantara ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersama kepimpinan tertinggi PAS dalam masa terdekat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.