Kenapa Perlu Hentikan Operasi Hotel-Hotel TH? Menteri Haji, Menteri Kewangan Sila Jelaskan!

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyaf Wajdi Dusuki berkata di dalam industri perhotelan, bukanlah perkara luar biasa untuk syarikat pengurusan hotel berbeza dengan pemilik bangunan hotel.

Justeru itu ujarnya, pemindahan milik bangunan kepada syarikat lain sepatutnya bukanlah alasan kenapa hotel-hotel Tabung Haji (TH) terpaksa ditutup.

“Melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri.

“Harap Menteri Haji atau Menteri Kewangan dapat menjelaskan,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf memberi reaksi demikian mengulas mengenai surat TH berkaitan penutupan hotel-hotelnya yang tular semalam, juga memetik Ketua Pegawai Eksekutif TH memberi alasan sebagai satu keputusan yang tidak boleh dielakkan akibat pemindahan pemilikan bangunan-bangunan hotel tersebut atau dengan bahasa mudah telahpun dijual.

“Sangat menyedihkan apabila diberitahu berita bahawa TH akan menghentikan operasi empat hotel TH bermula April 2020.

“Sepengetahuan saya, keempat-empat hotel ini adalah popular kepada pengunjung sejak dibuka tujuh tahun dahulu.

“Rating keempat-empat hotel dari ribuan pelanggan dalam laman web Agoda serta Trivago juga adalah tinggi dengan kebanyakan rating pada tahap ‘Very Good’ atau ‘Excellent’,” tambahnya lagi.

Oleh itu, Dr Asyraf percaya keputusan untuk menghentikan operasi dan membuang pekerja di empat hotel ini bukanlah kerana hotel-hotel tersebut rugi tetapi disebabkan pemilikan bangunan-bangunan tersebut telah dipindah dari TH ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.