Aset TH Dipindah Milik, Kerakusan Yang Semakin Tidak Terbendung – Zahid


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertindak semakin rakus menjual aset-aset Tabung Haji (TH).

“Berapa banyak lagi aset-aset TH yang ada mahu dijual dengan cara menukar pemilikan ini?

“Kerakusan yang semakin tidak terbendung,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kecewa apabila membaca berita tentang TH akan menghentikan operasi empat hotel TH bermula April 2020.

Untuk rekod, pemilikan bangunan-bangunan tersebut telah dipindah ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan.

Sebelum ini, TH melalui TH Plantations telah menjual secara lambak ladang-ladang milik mereka kepada syarikat swasta, di mana 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar kini menjadi hanya 24,000 hektar pada masa harga sawit memulih.

Dilaporkan juga PH telah menjual aset-aset strategik TH termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Sehingga kini, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH; agensi pendeposit kira-kira 9.4 juta umat Islam di negara ini, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ‘lari’ daripada berdialog secara ilmiah dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan pelbagai tuduhannya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) ke atas TH sebelum ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.