Tiada Pelaburan Yang PH Bawa… Hanya Tambahan Hutang Bon Samurai

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, tiada pelaburan yang boleh dibanggakan dibawa pulang ke dalam negara, yang ada hanyalah tambahan hutang termasuklah Bon Samurai.

Jelas beliau, ini jauh berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu kerana setiap kali pemimpin BN ke luar negara, pasti ada pelaburan yang dibawa masuk.

“Hari ini selepas PH ambil alih kepimpinan negara, mana negara yang pemimpin mereka tidak pergi? Jepun… China… Amerika Syarikat… Pakistan tapi dalam semua lawatan ini adakah pelaburan dibawa masuk? Tidak ada… kenapa tidak masuk? Sebab ketidakyakinan negara luar terutama pelabur kepada ekonomi negara kita.

“Kalau nak dibandingkan zaman BN dulu, saya ingat lagi pada tahun 2016 dalam beberapa siri lawatan ke China oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu, jumlah terkumpul untuk pelaburan yang dibawa masuk ke dalam negara adalah RM143.64 bilion. Tahun 2017, Datuk Najib ke India dan kerana wujudnya keyakinan India kepada kita maka mereka melabur lebih daripada RM157 bilion dan ini sekaligus mewujudkan ekonomi yang baik dan kesannya dinikmati oleh rakyat.

“Tapi Perdana Menteri sekarang pergi ke Jepun sebab dia memang minat dasar pandang ke timur ini… saya ingat tentulah dia akan bawa masuk pelaburan yang banyak kerana dia baik dengan Jepun tapi sayangnya tidak ada… yang ada hanyalah Bon Samurai berjumlah 200 bilion Yen,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Dr Shamsul Anuar, pinjaman ini sekaligus memberi signal yang salah kepada pelabur dan kerana itulah semakin ramai yang tidak berani melabur di Malaysia kerana dasar PH yang tidak menyakinkan mereka.

“Kerana itulah UMNO dan PAS perlu terus memperkukuhkan Muafakat Nasional agar kita dapat kembali berkuasa dan kembali membina negara yang telah dirosakkan oleh PH. Sekiranya dulu mereka menuduh kita telah merosakkan negara namun sebenarnya, merekalah perosak negara.

“Sebab itu mereka cuba merosakkan kerjasama UMNO dan PAS kerana mereka sedar kerjasama ini mampu mengalahkan mereka dalam PRU-15 nanti,” ujar beliau lagi.

Selain itu beliau turut menegaskan bahawa rakyat perlu faham dan jangan sesekali menerima maklumat yang salah berkaitan Muafakat Nasional ini.

“Mereka melemparkan pelbagai tuduhan buruk terhadap Muafakat Nasional ini tapi kenyataannya Muafakat Nasional bukan hanya untuk orang Melayu Islam Bumiputera tetapi untuk semua bangsa.

“Kita faham lanskap politik negara ini yang pelbagai kaum maka kita harus membela semua kaum mengikut Perlembagaan dan ini terbukti ketika PRK di Tanjung Piai. Jadi jangan dengar cakap pemimpin PH cakap berkaitan Muafakat Nasional ini.

“Kita tidak zalim dan ini juga terbukti sepanjang BN memerintah selama 62 tahun, ktia tidak pernah zalim kepada bangsa lain, begitu juga dengan PAS yang memerintah di Kelantan dan Terengganu. Jadi, rakyat tidak perlu bimbang,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE