Pelbagai Cubaan Untuk Ganggu Gugat Muafakat Nasional Yang Dicemburui ‘Musuh’
RAUB, 16 Feb – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muafakat Nasional sememangnya digeruni oleh musuh dan kerana itulah banyak cubaan yang dilakukan untuk merosakkan kerjasama antara UMNO dan PAS hari ini.
Jelas beliau, pihak yang paling takut dengan Muafakat Nasional ini adalah Dap dan rakan sekutu mereka kerana mereka sedar Muafakat Nasional mampu menumbangkang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
“Sebab itu mereka tidak akan biarkan muafakat ini, pasti akan ada nanti orang tukang cucuk dan mengungkit bagi merosakkan Muafakat Nasional.
“Kerana itu kita perlu bersatu dan terus mengukuhkan muafakat ini. Apatah lagi sekarang ini rakyat sudah muak dengan PH, belum dua tahun PH memerintah tapi macam sudah 30 tahun… rakyat sudah tidak sanggup nak tunggu untuk ubah balik,” ujar beliau ketika berucap dalam program Muafakat Nasional peringkat Parlimen Raub malam tadi.
Tambah Tuan Ibrahim, demi memperkasa dan memperkukuhkan lagi muafakat yang terjalin antara UMNO dan PAS ini maka jawatankuasa induk telah memutuskan supaya kedua-dua parti di peringkat negeri dan bahagian untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama.
“Ini bertujuan untuk menggarap semua program dalam Muafakat Nasional tanpa melibatkan soal strategi kerana strategi kita tidak perlu beritahu orang,” ujar beliau.
Tuan Ibrahim turut membidas pihak yang beranggapan kononnya kerjasama UMNO dan PAS ini akan rosak bila tiba masa pembahagian kerusi nanti.
“Soal pembahagian kerusi kita serah kepada pimpinan atasan. Soal strategi ini biar pimpinan atasan sahaja yang tahu.
“Tugas kita sekarang mantapkan tapak yang kita bina, kalau tapak kukuh naiklah bangunan setinggi manapun ia takkan tumbang.
“Sebab itu soal keputusan pembahagian kerusi kita serah sahaja kepada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti,” tegas beliau. – UMNO ONLINE