Muafakat Nasional Manifestasi Suara Hati Rakyat – Noh

KUALA SELANGOR, 15 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata Muafakat Nasional bukan milik eksklusif atau parti tetapi ia adalah manifestasi suara hati akar umbi yang mahu umat bersatu padu.

Katanya, Jawatankuasa pelaksana dan penyelaras Muafakat Nasional akan memulakan kerjanya di peringkat negeri serta bahagian sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Marilah kita menjadikan Muafakat Nasional ini demi kepimpinan UMNO dan PAS. Parlimen Tanjung Karang akan memulakan kerja ini.

“Kita telah mulakan mesyuarat Muafakat Nasional, konvensyen pun sudah buat. Tak cukup itu kita bagi Jawatankuasa Muafakat Nasional DUN Permatang, Sungai Burung pun bersama,” katanya semasa ceramah Muafakat Nasional di Kampung Permatang, Kuala Selangor, malam tadi.

Turut hadir pada ceramah Muafakat Nasional ini Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan kepimpinan UMNO dan PAS Parlimen Kuala Selangor.

Tambah Noh lagi, untuk menterjemahkan itu bukan saja mesyuarat di bilik mesyuarat, tetapi harus juga turun padang bersama–sama dan mendekati rakyat.

“Saya dah lama jadi Ahli Parlimen beberapa kali, tapi bila saya turun padang dan lihat semangat orang PAS ini cukup kuat. Begitu juga ahli-ahli kita yang lain.

“Ini menunjukkan bahawa dan saya yakin Tanjung Karang akan menterjemahkan Muafakat Nasional. Insya Allah… Tanjung Karang kita akan bersatu kerana Muafakat Nasional,” jelasnya.

Sehubungan itu, ujarnya lagi biarlah pemimpin di atas menguruskannya manakala yang di bawah pula masing-masing buatlah kerja seperti biasa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.