Pemecatan Raymond Ahuar Jadi Tanda Tanya Kepada Rakyat – Rahman

KUALA  LUMPUR, 14 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat berita pemecatan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, saudara Raymond Ahuar menjadi tanda tanya kepada rakyat.

Memetik kenyataannya yang disiarkan menerusi facebook beliau, Abdul Rahman yang juga Pemangku Ketua UMNO Tuaran berkata rakyat tertanya-tanya jika benar sepertimana yang dilaporkan media rakyat sedang menunggu apa jawapan daripada kerajaan negeri.

“Raymond memberitahu media bahawa beliau dipecat kerana mengadakan lawatan ke Tatalaan II, Nabawan untuk melihat sendiri aduan masyarakat Murut tempatan mengenai aktiviti pembalakan sebuah syarikat di tanah masyarakat (communal land) mereka.

“Masyarakat Murut di kawasan tersebut membuat aduan tentang kegagalan syarikat pembalakan tersebut untuk menyukat dan mengagihkan plot tanah kepada masyarakat Murut. Kegagalan ini menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima geran plot tanah mereka.

“Kalaulah ini benar seperti yang dilaporkan media, kerajaan Sabah perlu memberi jawapan kenapa Raymond dipecat sedangkan beliau hanya menjalankan tugas untuk melindungi kepentingan masyarakat Murut di kawasan berkenaan? Dimaklaumkan oleh media bahawa pemecatan itu dicadangkan oleh Ketua Menteri sendiri dan disokong oleh majoriti menteri,” katanya.

Katanya lagi apakah yang menyebabkan menteri-menteri kabinet kerajaan Sabah begitu menggelabah sehingga sanggup memecat saudara Raymond yang mempertahankan kepentingan masyarakat Murut daripada di permainkan oleh syarikat pembalakan itu.

“Pemecatan ini menjadi tanda tanya kepada rakyat. Rakyat bertanya siapa yang ada kepentingan langsung atau tidak langsung dalam syarikat tersebut sehinggakan Raymond dipecat begitu sahaja walaupun sebenarnya Raymond hanya menjalankan tugas melindungi kepentingan masyarakat Murut. Rakyat sedang menunggu jawapan dari pihak kerajaan,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.