Jelajah UMNO Sabah Perkukuh Akar Umbi, Tekad Elak Kebobrokan Dari PH

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata pihaknya cukup terharu dengan sokongan pelbagai peringkat khususnya kalangan anak muda pada program Jelajah UMNO negeri yang kini telah memasuki beberapa bahagian menerusi pelbagai program yang diatur dan disediakan.

Malah menerusi program tersebut yang diketuai Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin serta pimpinan lain, parti itu juga turut menerima keahlian baru daripada beberapa UMNO bahagian termasuklah penyertaan orang-orang muda yang masih terus bersemangat untuk bersama-sama UMNO Sabah.

“Alhamdulillah… kita melahirkan rasa syukur kerana di akar umbi terutamanya UMNO masih lagi diyakini dan terus mendapat sambutan kalangan penduduk setempat untuk bersama-sama dengan kita dalam perjuangan murni ini.

“Insya Allah… sepertimana sebelum ini dan hingga ke hari ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga, UMNO Sabah empat peringkat terus menyelusuri akar dan bertemu masayarakat di sini.

“Kita menceritakan betapa kita perlu menyelamatkan negeri ini daripada penjarahan dan kebobrokan yang dilakukan oleh kerajaan Warisan-PH pada hari ini. Kehidupan marhaen semakin terhimpit dan tertekan. Ekonomi terus jatuh dan jatuh. Dikhabarkan kadar pembangunan negeri yang terburuk dalam sejarah ekonomi Sabah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi di peringkat nasional begitu juga apabila kadar pembangunan yang dijangkakan 4.9% meleset jauh apabila angka menunjukkan 3.6% bagi suku ke-4 2019.

“Kadar pembangunan yang rendah ini pastinya membuatkan lebih ramai yang tidak dapat peluang pekerjaan, dan lebih teruk lagi, akan berlaku pembuangan kerja kerana tidak ada pembangunan yg rancak seperti dahulu,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama beliau turut terharu apabila terdapat pimpinan di bahagian yang mengambil inisiatif tersendiri dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka.

“Sebelum ini, di Kalabakan UMNO bahagian telah melancarkan Skuad Radu sebagai satu unit amal sukarelawan untuk membantu masyarakat di Kalabakan. Tahniah Ketua Bahagian Sdr Andi Surady yang terus memimpin UMNO Kalabakan ke arah kegemilangannya sebelum ini.

“Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain yang terus dengan sumbangan dan khidmat bakti mereka sepertiu menerusi ziarah kasih, kesukanan dan sebagainya lagi. Tahniah kepada semua,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.