Unjuran Pertumbuhan Ekonomi (KDNK) Kerajaan PH Tersasar Lagi – Tok Mat

BANK Negara telah mengumumkan bahawa Ekonomi Malaysia hanya meningkat 3.6% pada suku keempat 2019, iaitu kadar yang paling lemah sejak 10 tahun lalu.

Hal ini bermakna pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun penuh 2019 sebanyak 4.3%.

Prestasi ini jauh lebih rendah daripada ramalan Menteri Kewangan PH sebanyak 4.9% (dalam Ucapan Belanjawan 2019) dan juga tersasar dari ramalan dalam Ucapan Belanjawan 2020, iaitu 4.7%.

Pertama, angka ini membuktikan sekali lagi bahawa Menteri Kewangan PH tidak dapat meramalkan pertumbuhan ekonomi secara realistik dan objektif.

Malah, Menteri Kewangan terbukti terlalu optimistik.

Kedua, Belanjawan Negara 2019 tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana hasil kerajaan jelasnya tidak dapat menepati sasaran.

Maka, rakyat tidak dapat menikmati janji-janji yang ditabur dalam Belanjawan secara sepenuhnya.

Ketiga, persoalan yang perlu kita ketengahkan ialah mengapakah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang sepatutnya ‘merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan’ tidak dapat menyelamatkan prestasi ekonomi negara yang semakin merudum?

Keempat, Menteri Kewangan telah mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pesat pada tahun 2020 iaitu sebanyak 4.8%.

Namun, adakah unjuran ini dapat dipercayai memandangkan unjuran tahun 2019 salah untuk dua tahun berturut-turut?

Yang lebih membimbangkan lagi, ekonomi negara kini diimpak besar oleh penyebaran wabak koronavirus.

Adakah Kerajaan PH masih terlalu optimistik sehingga tidak bersedia untuk menangani isu aliran tunai operasi perniagaan?

Seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, pertumbuhan KDNK suku keempat 2019 merupakan pertumbuhan terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi termasuk kejatuhan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli.

Bagaimanakah Kerajaan PH akan merangsang pertumbuhan sektor komoditi terutamanya sektor kelapa sawit dan getah?

Adakah rakyat luar bandar yang kebanyakkannya bergantung kepada sektor komoditi ini akan terus ditindas, memandangkan kos hidup semakin meningkat? – UMNO ONLINE

Datuk Seri Utama Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.