Tuduhan Tunjuk ‘Kebodohan’ Sendiri, Guan Eng Takut Bayang Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata kenyataan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng adalah satu tuduhan yang cukup jahat.

Katanya, Guan Eng disifatkan kurang ajar sekaligus menggambarkan beliau ketakutan kerjasama UMNO dan PAS serta memberi ancaman terhadap kaum-kaum lain.

“Guan Eng menggambarkan kerjasama UMNO dan PAS akan menyebabkan orang Islam akan mendominasi dan memberi ancaman kepada orang yang bukan Islam adalah satu tuduhan yang bersifat kebodohan sendiri.

“Menteri-menteri dari Dap sentiasa meniupkan api perkauman dan agama seperti isu ICERD, sokongan LGBT, penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan sebagainya. Ini yang menyebabkan kemarahan umat Melayu Islam di negara ini.

“Malangnya… apa yang berlaku tidak sampai dua tahun dalam kerajaan, terjadi perpecahan kaum dan agama yang kini berada di tahap yang amat kronik,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas menegaskan bahawa Guan Eng harus dipertanggungjawabkan di atas hasutan yang menjurus kepada kebencian antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara.

“Sejarah telah membuktikan sepanjang pemerintahan kerajaan UMNO-BN lebih enam dekad terdahulu negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera. Tiada isu-isu pelik dan memalukan maruah negara,” ulasnya.

Justeru, Guan Eng sebenarnya sudah kekeringan modal apabila memutarbelitkan pernyataan dan membuat tudahan terhadap UMNO dan PAS.

“Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menggesa Guan Eng agar menjaga hal ehwal parti Dap sendiri yang umum mengetahui bahawa mesyuarat Pemilihan CEC Parti DAP sebelum ini adalah tidak sah.

“Ini ditambah dengan keserabutan masalah moral pemimpin mereka yang banyak terpalit isu rasuah sehingga ke jenayah rogol serta terlibat secara langsung dengan pengganas,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.