Kenyataan Berbaur Rasis, Wanita UMNO Tuntut Guan Eng Mohon Maaf

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Wanita UMNO Malaysia membidas kenyataan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang seakan-akan cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia berkaitan kerjasama UMNO dan PAS.

Ketuanya Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, seharusnya sebagai seorang yang memegang portfolio penting dalam kerajaan, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan tidak sepatutnya mempercayai cerita tidak benar mengenai Pakatan Nasional yang tidak tahu hujung pangkalnya.

“Kenyataan Guan Eng ini dilihat boleh mengelirukan rakyat dan secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham terhadap bukan Islam kepada Islam.

“Guan Eng juga patut sedar dan menerima hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan selama lebih 60 tahun negara ini dipimpin oleh orang Islam, tidak pernah sekalipun agama dan bangsa lain dipinggirkan. Kerana itulah Malaysia memberi cuti khas mengikut perayaan setiap bangsa malah turut memberi cuti sempena hari Thaipusam,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Noraini, negara ini telah terbentuk dengan kerukunan dan keharmonian dalam acuan ‘1Malaysia’ maka Guan Eng tidak sepatutnya bersikap rasis dan cuba merosakkan minda bukan Islam terhadap agama Islam.

“Justeru, Wanita UMNO Malaysia menuntut agar Guan Eng memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai keterlaluan itu,” tegas beliau.

Untuk rekod, Guan Eng dipetik berkata, pembentukan Pakatan Nasional adalah bagi membenarkan PAS dan BN mengambil alih PH dan kerajaan Malaysia menerusi pintu belakang dan ini adalah bahaya kepada rakyat Malaysia kerana ia adalah satu pakatan yang didominasi oleh Muslim dalam kerajaan Persekutuan, secara terbuka menentang Perlembagaan Persekutuan dan institusi demokratik serta bukan Islam.

Guan Eng turut mengingatkan rakyat bahawa negara ini akan ditarik ke zaman gelap sekiranya penubuhan sebuah kerajaan yang memusuhi minoriti bukan Islam itu menjadi kenyataan.

Menurutnya, penubuhan Pakatan Nasional akan mengundang bahaya kepada cara hidup rakyat negara ini bersandarkan kenyataan beberapa pemimpin PAS secara terang menolak pelantikan pemimpin bukan Islam sebagai menteri kabinet terutama jawatan penting seperti Menteri Kewangan meskipun tiada halangan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang amalan politik pemimpin PAS dan UMNO yang berbahaya, memudaratkan dan merosakkan adalah konsisten dengan beberapa kenyataan bersifat perkauman dan menyentuh sentimen keagamaan dimainkan mereka yang dikecam MCA dan MIC sendiri.

“Antaranya membantah penyaluran dana sekolah vernakular, boikot produk dan bisnes bukan muslim, melarang orang bukan Islam menjadi menteri kabinet, menolak hak pengundi India dan Cina untuk mengundi, mempersoalkan kaedah sambutan dan amalan keagamaan bukan Islam serta menyebarkan pembohongan terhadap bukan Islam.

“Selain itu, kerajaan Pakatan Nasional akan membawa zaman gelap seperti di Kelantan,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.