Kadar Pertumbuhan Terendah, Guan Eng Gagal Pastikan Ekonomi Negara Ampuh Cabaran Global

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak boleh berterusan menyalahkan perang dagang Amerika Syarikat-China atau geopolitik penyebab pertumbuhan ekonomi negara semakin merudum.

Bahkan ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, Guan Eng itu sendiri yang gagal berperanan dan memastikan ekonomi Malaysia ampuh dengan cabaran global.

“Menteri Kewangan pada akhir bulan November menyatakan keyakinan bahawa pertumbuhan ekonomi 4.7% mampu dicapai.

“Tempoh masa antara November sehingga 2019 berakhir hanyalah sebulan.

“Sepatutnya pada bulan November tersebut, Lim Guan Eng seharusnya sudah maklum serta sedar gambaran awal kedudukan serta prestasi ekonomi negara sepanjang tahun 2019,” jelasnya.

Khairy berkata demikian mengulas mengenai laporan dari Bank Negara yang mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2019 adalah pada kadar 4.3%, rendah dari sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu 4.7% malah terendah semenjak tahun 2009. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.