Penjualan Belum Selesai: Dulu Tuduh Negara Bankrap, Mana Datang Aset Yang PH Jual Lambak?

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hairan dengan tuduhan yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) dahulu yang berkata Malaysia sudah dijual olehnya dan bankrap.

Tetapi bidasnya dalam satu hantaran di Facebook, dari mana pula datangnya begitu banyak aset negara yang dijual oleh PH sekarang secara lambak dalam tempoh masa 20 bulan sahaja memerintah negara.

“Secara senyap bulan lalu kerajaan PH telah menjual seluruh 10.8% pegangan mereka dalam konglomerat terbesar negara Sri Lanka., John Keells Holdings Plc.

“Harga yang dijual ialah RM520 juta dan pembelinya ialah kumpulan Fairfax dari Kanada melalui Citigroup.

Pelaburan dalam syarikat ini dibuat oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pada bulan Mac 2012 masa Barisan Nasional (BN) dengan harga sekitar RM360 juta,” tambahnya.

Ulasnya lagi, kini aset tersebut telah dijual oleh kerajaan PH kerana penjualan belum selesai.

“Alasan yang diberi oleh Perdana Menteri Ketujuh kenapa aset-aset negara terus dijual ialah untuk kurangkan hutang negara.

“Namun hutang negara tak pernah turun masa PH walaupun banyak aset negara yang dibina masa BN telah dijual oleh mereka,” katanya.

Sebaliknya selar Ahli Parlimen Pekan itu, hutang langsung negara naik dengan kadar lagi laju dari RM686 bilion pada akhir tahun 2017 ke RM815 bilion bulan ini.

Untuk rekod, sehingga September tahun lalu sahaja PH telah menjual aset negara sebanyak lebih RM30 bilion. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.