Guan Eng Timbulkan Persepsi Perkauman, Menghasut… Itulah Pendirian Sebenar Dap – Hahasrin

TENGGARA, 11 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Hahasrin Hashim membidas Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng yang bertindak jahat memesongkan realiti demi menimbulkan persepsi perkauman rakyat khususnya kaum Cina dan India daripada berfikiran terbuka serta mengimbau kembali saat aman dan makmur bersama Barisana Nasional (BN).

Tegasnya, tindakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang mengeluarkan kenyataan yang panjang lebar berbaur perkauman dan hasutan mengesahkan pendirian sebenar Dap dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apakah sebenarnya tujuan beliau mengeluarkan kenyataan ini apabila hakikat sebenarnya tidak wujud sama sekali apa yang dipanggil ‘Pakatan Nasional’?

“Apa yang ada kini ialah Muafakat Nasional yang bukan sahaja untuk kaum Melayu, malah untuk semua kaum.

“Beliau kemudiannya memberikan naratif yang menakut-nakutkan serta menghasut bahawa sebuah kerajaan yang didominasi oleh Melayu-Bumiputera merupakan malapetaka kepada mereka yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilaporkan dalam media arus perdana, Guan Eng berkata gabungan PAS dan BN yang didakwanya menerusi Pakatan Nasional dikatakan akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu yang didominasi orang Islam dan menimbulkan permusuhan terbuka dengan orang bukan Islam.

Ujar Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara itu lagi, Guan Eng terlupa dan sengaja menafikan sumbangan kerajaan BN yang memerintah sejak merdeka merupakan sebuah kerajaan yang didominasi oleh sebuah parti Melayu-Bumiputera iaitu UMNO.

“Berpandukan konsep perkongsian kuasa dengan rakan-rakan komponen MCA dan MIC termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak, BN telah berjaya menjadi kerajaan yang membawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” tambahnya.

Justeru, Hahasrin menasihatkan Menteri Kewangan PH itu agar menumpukan perhatian untuk membawa Malaysia yang sedang menghadapi kelembapan ekonomi global sekali gus memberi impak kepada ekonomi domestik yang semakin hari semakin tenat serta menyusahkan rakyat.

“Inilah antara tanggungjawab utama beliau yang terbukti gagal!

“Jangan sibukkan hal orang lain khususnya penyatuan ummah Melayu, sedangkan parti-parti dalam kerajaan PH sedang mengalami kecamuk dan goyah,” bidasnya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.