Apa Motif Samaratakan Hak Pekerja Asing Dengan Pekerja Tempatan? – Dr Najmil


KUALA LUMPUR, 11 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menganggap tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa masuk 150,000 warga Pakistan ke Malaysia akan mengundang padah dalam pelbagai aspek khususnya pasaran kerja bagi rakyat tempatan.

Jelas beliau, Kemasukan warga asing dalam jumlah yang begitu banyak akan menjejaskan pasaran kerja untuk rakyat tempatan apabila pelbagai sektor industri akan didominasi oleh warga asing.


“Tindakan kerajaan PH ini akan menyamaratakan hak pekerja asing dengan warga tempatan apabila peluang kerja yang sepatutnya dapat kepada rakyat di rampas oleh warga asing,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Sehubungan itu, tegasnya, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar menghentikan kemasukan warga asing ini dan mengutamakan warga tempatan dalam apa-apa jua peluang pekerjaan yang tersedia

Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata Kerajaan PH berjanji mencipta 1 juta peluang pekerjaan tetapi kerajaan BN telah melakukannya dahulu iaitu mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan dalam 12 sektor industri di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kerajaan PH terbukti gagal dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan mengambil langkah mudah untuk memenuhi keperluan sektor kemahiran dengan membawa masuk warga asing,” bidasnya.

Tambahnya, untuk mengatasi masalah pekerja yang tidak mempunyai kemahiran, kerajaan BN dahulu mewujudkan inisiatif melalui latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk memastikan warga tempatan mempunyai kemahiran yang mencukupi bagi memenuhi pasaran dengan gaji yang setimpal.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.