Muafakat Nasional Terus Diperkasa, UMNO-PAS Masuk Fasa Seterusnya – Tok Mat


KUALA LUMPUR, 10 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Muafakat Nasional akan terus diperkasakan dan akan diperjelaskan secara lebih menyeluruh dan mendalam termasuklah soal pelaksanaan di pelbagai peringkat parti.

Menurut beliau dulunya penyatuan ummah dan hari ini Muafakat Nasional telah memasuki fasa seterusnya dan langkah sedemikian perlu dipergiatkan secara lebih lanjut supaya tidak timbul perasaan syak wasangka serta tidak timbul perasaan ragu-ragu.

“Pada malam ini di Bandar Tun Razak… tahniah dan ini memang langkah yang kita buat di peringkat pusat yang mana kita melancarkan Piagam Muafakat Nasional. Di peringkat UMNO kita telah mengarahkan negeri-negeri dan bahagian serta cawangan dan begitu juga dengan PAS yang melibatkan semua peringkat untuk menyusun program dan mengadakan jawatankuasa.

“Di peringkat pusat kita ada jawatankuasa perundingan dan di peringkat negeri kita ada jawatankuasa pelaksanaan termasuklah di peringkat bahagian serta kawasan pun mesti ditubuhkan supaya kita dapat bersama-sama untuk mengurus dan menyusun atur program serta majlis bagi memberi kefahaman di peringkat akar umbi. Kita tidak mahu Muafakat Nasional peringkat atas sahaja dan tidak difahami oleh kepimpinan bawah apatah lagi peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ceramah dan Pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Bandar Tun Razak.

Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Kamaruzzaman Mohamad; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ust Azhar Yahya; Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan pimpinan pelbagai peringkat kedua-dua parti berkenaan.

Terdahulu hujan lebat di kawasan ceramah dan kemudiannya renyai-renyai namun orang ramai enggan berganjak dan bersedia untuk meneruskan program biarpun telah ditanya oleh pihak penganjur sama ada mahu menangguhkan kepada tarikh yang lain. Ternyata semangat akar umbi untuk bersama dalam Muafakat Nasional amat teguh.

Malah Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat turut bersemangat menyampaikan ceramahnya dalam keadaan tidak berpayung di hadapan kira-kira 1,000 yang hadir.

Dalam perkembangan lain, berhubung cadangan PAS untuk membawa usul undi percaya di Parlimen, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Kita akan bersama-sama untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak PAS… usul ini datang daripada PAS dan sebagai rakan dalam Muafakat Nasional kita mesti lakukan apa sahaja secara bersama. Jika ianya merupakan sesuatu langkah yang baik maka UMNO tidak akan teragak-agak untuk bersama-sama,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya Tok Mat berkata sememangnya bukanlah satu perkara dan hakikat yang dapat disembunyikan lagi apabila rata-rata rakyat hari ini menyatakan kekesalan mereka terhadap apa yang berlaku setelah terhibur dan terlena dengan janji yang ditabur sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu sehingga jatuhnya kerajaan BN.

“Hari ini macam-macam. Angggota penjawat awam dulu semua kata BN tak elok dan hari ini dah menyesal. Yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula berciciran. Penjawat awam pada bulan Julai patut dapat kenaikan dan pada bulan Disember dapat satu lagi dan hari bukan sahaja tidak dapat kenaikan malah nak kena kecilkan pula penjawat awam. Kontrak dah banyak kena buang.

“Alhamdulillah kita dah sedar dan dah tahu apa akibatnya apabila kita berpecah-pecah. Inilah pentingnya permuafakatan. Bak kata orang tua-tua… muafakat punca selamat dan sengketa punca celaka, dan sekarang kita dalam kecelakaan.

“Kalah dalam PRU-14 banyak hikmah dan kita belajarlah, salah satu hikmah pada hari ini kita bersama-sama. Ini hikmahnya dan jika tidak saya rasa masing-masing masih lagi ‘spray’ antara satu dengan yang lain. UMNO dalam hal masing-masing … PAS asyik ‘spray’ UMNO. Kita ini ‘dispray’ siang malam pagi petang oleh PAS dan lama-lama UMNO lemah dan lama-lama kalah maka anai-anai Dap naik atas rumah. Jadi kali ini UMNO berhenti ‘spray’ PAS, dan PAS berhenti ‘spray’ UMNO, sekarang kita beli ‘Ridsect’ kita ‘spray’ Dap ramai-ramai,” ujarnya.

Ujarnya lagi musuh sebenar harus dikenalpasti dan mesti tahu sepertimana kata orang tua-tua dalam musuh tidak ada kawan, tetapi dalam kawan ada musuh dan berhati-hatilah.

“Bila berkawan jangan rapat benar dan bila bergaduh jangan macam kita tidak nak sama-sama lagi . Jadi akhirnya kita belajar. Inilah yang kita buat Muafakat Nasional,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.