Kerjasama UMNO-PAS Bukan Baru, Muafakat Nasional Untuk Kepentingan Semua – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kerjasama UMNO dengan PAS bukan perkara baru dan kali ini ianya dijenamakan dengan Muafakat Nasional bukan untuk kepentingan kedua-dua parti berkenaan semata-mata sebaliknya jauh melangkaui pelbagai kelompok masyarakat seluruhnya di negara ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata langkah berkenaan perlu dalam usaha mengambil semula teraju kepimpinan negara bersama-sama rakyat negara ini agar segala permasalahan yang berlaku dalam negara hari ini tidak terus membebani masyarakat keseluruhannya.

“Kepada bukan Melayu jangan bimbang… sekali lagi kita tegaskan malahan berkali-kali Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) sebut… Muafakat Nasional ini adalah gagasan yang bukan hanya untuk kepentingan dua parti terbesar orang Melayu sahaja.

“Ini untuk rakyat Malaysia… Melayu, Cina, orang India, masyarakat di Sabah dan Sarawak insya-Allah Muafakat Nasional akan menjaga seluruh rakyat Malaysia kerana kita mahu menjadi parti terbaik dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah dan Pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Bandar Tun Razak oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut serta Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Kamaruzzaman Mohamad; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ust Azhar Yahya; Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan pimpinan pelbagai peringkat kedua-dua parti berkenaan.

Terdahulu hujan lebat di kawasan ceramah dan kemudiannya bertukar renyai-renyai. Pihak penganjur bertanyakan hadirin sama ada mahu meneruskan program tersebut atau menangguhkan kepada tarikh lain, namun mereka yang hadir sanggup untuk bersama-sama dan meneruskan ceramah tersebut.

Malah Dr Shamsul Anuar turut bersemangat menyampaikan ceramahnya walaupun hujan masih turuh renyai-renyai di hadapan kira-kira 1,000 yang hadir.

Tegas beliau, impian rakyat apabila kerajaan baru mengambil alih sudah pasti ianya lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

“Sebab itu kita tidak ada pilihan… kita tidak ada pilihan… kita perlu ambil semula kuasa pemerintahan kerana apa… kerana kita… atas kesilapan sebahagian daripada kita telah mengangkat pemimpin dan kerajaan yang tidak berkemampuan untuk membawa negara ini dan menjaga negara ini lebih baik daripada sebelumnya.

“Ekonomi kita, kebajikan rakyat, pendidikan entah ke mana, segala-gala impian rakyat tentulah apabila kerajaan baru mengambil alih mahukan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Yang terjadi sebaliknya… tidak diyakini oleh rakyat, tidak diyakini oleh pelabur, berasa diri kuat… bergaduh dengan orang sana… hari ini bergaduh dengan Amerika pula. Ini semua merosakkan negara dan merugikan negara ini.

“Sebab itu yang penting kita perkukuhkan Muafakat Nasional dan kita jangan ada masalah apa-apa. Kita berdepan dengan kerajaan hari ini dan kita bela rakyat serta turun ke bawah. Jumpa rakyat dan saya yakin selagi mana kita berjumpa rakyat… bela rakyat, rakyat akan dekat dan akan sayang dengan kita, dan apabila mereka sayang dengan kita mereka akan angkat kita menjadi pemimpin untuk membela masa depan negara,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.