Presiden UMNO Tiada Kuasa Memecat Keahlian Mana-mana Ahli UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) mempunyai peruntukan kuasa di bawah Fasal 20.9 (d) bagi memecat mana-mana ahli yang melakukan salah laku seperti melanggar Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli, jelas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegasnya, setiap daripada kita yang menjadi ahli UMNO hendaklah patuh kepada Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO, seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan.

“Inilah disiplin dalam UMNO. Disiplin ini termasuklah patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti, menjaga rahsia parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terang beliau, manakala di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula, ahli-ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan jika didapati melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu menerbit, menyiar atau menulis apa apa risalah atau lain lain karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan mengelirukan seseorang berkenaan ahli yang lain.

“Selain itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal yang sama sekiranya melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.4, iaitu membuat kenyataan tentang seorang ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari atau mengelaknya.”

Katanya, tindakan memecat ahli-ahli yang engkar bukanlah perkara baru kerana ia pernah dilaksanakan pada masa lalu, iaitu dalam kes pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ramai lagi.

“Proses dan amalan biasa dalam UMNO. Apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan, ianya dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia untuk dibuat keputusan. Malah dengan kuasa yang ada Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga berkuasa dan dibenarkan oleh perlembagaan UMNO untuk membuat apa apa keputusan tanpa dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Apa yang penting semua ahli punyai hak dalam UMNO. Namun apa juga perkara ia juga tertakluk kepada Perlembagaan UMNO, yang dibentuk dalam Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

“Perkara yang penting Presiden UMNO Malaysia secara peribadi tiada kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli UMNO,” jelasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.