Bukan Soal Pintu Depan Atau Belakang… Tapi Demi Pelbagai Kaum, Negara – Annuar

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bawa UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) mempunyai tugas berat, bukan soal pintu depan atau belakang, tetapi soal apakah yang boleh dilakukan secara kolektif dalam suasana politik pelbagai parti dan demi kepentingan pelbagai kaum dalam negara.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) adalah formula yang gagal, prestasinya lemah sekali dan rakyat tidak sabar mahukan kerajaan yg lain, tapi prosesnya tidak mudah dan ‘options’ banyak sekali.

“PAS bercadang membawa usul undi percaya pada Perdana Menteri (PM) di sidang Parlimen bulan depan. Dari segi peraturan PAS memang boleh berbuat demikian dan kalau speaker membenarkannya.

“Ahli parlimen berpeluang membuat pendirian untuk menyokong, menolak atau berkecuali. Di peringkat parti pula, parti politik boleh memilih sama ada memberi kebebasan MP memilih mengikut hati nurani masing-masing, mengundi mengikut Whip atau berkecuali.

“Spekulasi akan terus berlaku, siapa pilih apa, sokong siapa… politik Malaysia terus menarik dan tidak menentu… tapi ini tidak baik bagi negara,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh, di pihak UMNO, akan mula sibuk dengan Mesyuarat Cawangan dan Bahagian.

“Kita juga sibuk dengan kempen keahlian yang hangat mendapat sambutan sekarang. Kita juga sibuk dengan penubuhan JUARA dan JR 2.0 oleh Wanita UMNO seluruh negara.Tambahan kepada ini kita ada banyak program bersama MN dan BN.

“Masalah kerajaan adalah tanggungan PH dan PH punya masalah dalaman sesama mereka.Terbaik adalah untuk mereka selesai sendiri masalah mereka. UMNO tak perlu ‘busy body’ dengan masalah PH.”

Namun katanya, jika menyentuh perkara berkait kepentingan nasional, UMNO boleh berbincang.

“Presiden UMNO sudah diberi mandat merundingkan apa yang baik untuk parti. Bagi perkara ‘substantive’ dan mendasar, presiden akan kembali kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Ini bermakna Presiden UMNO kini boleh bertindak penuh wibawa dan MKT teguh dibelakangnya.”

Terang beliau, UMNO semakin pulih walau tugas memperkasa parti masih banyak di hadapan.

“UMNO perlu memikirkan dasar dan agenda untuk melepaskan rakyat dari himpitan semasa. UMNO tidak boleh memikirkan individu. UMNO parlu memikirkan apa yg terbaik bagi orang Melayu, kaum Bumiputera dan orang asal, kemajuan dan perkembangan Islam, institusi Raja-raja Melayu dan segala apa tertera dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.