Demonstrasi Aman Bantah ‘Deal Of The Century’ Yang Dianggap Perjanjian Sampah

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Demonstrasi Aman membantah ‘Deal Of The Century’ yang disertai Pemuda UMNO Malaysia dan Dewan Pemuda PAS serta turut disertai oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berjalan lancar dan penuh teratur.

Bantahan yang bermula selepas solat Jumaat diiringi dengan laungan ‘Free Palestin’ selain beberapa sepanduk dan plakad yang menyatakan bantahan keras terhadap ‘Deal Of The Century’.

Perarakan bermula di depan Menara Tabung Haji sehingga ke depan kedutaan Amerika dan beberapa pemimpin termasuk Pemuda UMNO dan Pemuda PAS serta pimpinan NGO lain memberikan ucapan masing-masing.

Tanggal 28 Januari 2020 menyaksikan satu perjanjian telah dimeterai digelar sebagai ‘Deal of the Century’ antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tanpa melibatkan pemimpin Palestin.

Perjanjian yang dikatakan sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel, ternyata merupakan perjanjian yang berat sebelah dan terus menindas hak kebebasan dan pemilikan negara Palestin.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan dalam ucapan ringkas menyatakan bahawa perjanjian tersebut merupakan ‘perjanjian sampah’ kerana tidak melibatkan pemimpin Palestin itu sendiri.

“Ini bukan ‘Deal Of Century’… ini perjanjian sampah. Kenapa sampah… ianya ambil Baitul Maqdis, keselamatan dan sebagainya Israel yang jaga dan Palestin tidak ada hak. Kita setuju atau tidak. Sudah tentu kita tidak setuju.

“Pelik… inilah perjanjian yang pelik. Mereka mengatakan ini adalah perjanjian damai Palestin dan Israel tetapi yang berunding adalah Israel dan Amerika Syarikat. Pemimpin Palestin semuanya tidak dirunding  dan tidak dirujuk di dalam ‘perjanjian sampah’ ini,” katanya.

Kata beliau lagi usaha yang digerakkan oleh pelbagai pihak hari ini tidak akan terhenti begitu sahaja dan akan terus digerakkan selagi mereka mahu berkeras menjayakan perjanjian tersebut.

“Hari ini kita berkumpul, kita datang dan kita turun berarak parti-parti politik, pemimpin-pemimpin masyarakat dan NGO untuk kita nyatakan solidariti kita kepada satu bangsa yang telah ditindas tujuh dekad lebih, tujuh dekad tanahnya diambil… adakah kita setuju atau tidak.

“Tujuh dekad rakyat Palestin ditindas tetapi hari ini atau bulan lepas muncul kemuncak penindasan berkenaan dengan satu perjanjian yang dikatakan ‘Deal Of Century’.

“Insya-Allah, kita sama-sama memohon agar segala usaha ini diberkati Allah swt dan tindakan ini bukanlah tindakan kita yang terakhir  selagi mereka berkeras mahu melaksanakan soal ini, kita akan turun dan nyatakan bantahan kita habis-habisan,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Hj Khairil Nizam Khidrudin menyatakan solidariti dan menzahirkan perkara yang sama berkenaan perjanjian tersebut.

Dengan melaungkan Palestin….dan kemudiannya disahut oleh mereka yang bersama di dalam himpunan berkenaan ‘Merdeka’, beliau menyatakan biarlah himpunan pada hari ini menjadi salah satu daripada titik di dalam sejarah dan  individu yang membebaskan aqsa serta menjahanamkan Deal Of Century ini.

“Alhamdulillah kita pada Selasa yang lepas telah menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika, kita menyatakan tidak bersetuju dengan Deal Of Century. Alhamdulillah kita nyatakan dengan berani bersama sahabat-sahabat kita di bumi Palestin,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.