Hayati Asas Perjuangan UMNO, Musuh Kita PH Bukan Sesama Sendiri

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris mengingatkan ahli parti agar tidak berbalah berkaitan isu kerajaan gabungan yang hangat diperkatakan diantara BERSATU dan UMNO yang menjadi polemik hari ini.

Katanya, akar umbi perlulah melihat perkara ini dengan rasional dan penuh timbang rasa sebagaimana yang sudah dijelaskan, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah bahawa tindakan ini adalah memanipulasi dan merupakan tuduhan melulu yang akan menjejaskan kekuatan UMNO.

“UMNO punyai maruahnya sendiri dan perjuangan ini tidak boleh dikhianati kerana mendukung suara dan aspirasi rakyat untuk melihat UMNO sebagai peneraju negara.

“Saya percaya, Presiden UMNO dan kepimpinan tidak akan membuat sebarang keputusan yang membawa padah kepada parti dan juga rakyat dan sudah tentu presiden memikirkan soal survival UMNO dan juga orang Melayu.” Katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.

Selaras dengan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kualata Terengganu berkata, janganlah kita berbalah sesama sendiri sebaliknya lihatlah kembali kejayaan membentuk Muafakat Nasional dan memenangi beberapa siri PRK apabila semua ahli parti bersatu padu.

“Itu adalah lebih penting. Jangan kita memperbesarkan isu yang tidak pasti ini dan hal ini akan mewujudkan ruang kepada PH untuk menyerang kita. Banyak lagi isu-isu yang lebih penting untuk kita perjuangkan seperti soal ekonomi, kebajikan dan sebagainya.

“Kita sebagai ahli UMNO perlu sedar bahawa jika kita terus berbalah dalam soal ini sudah tentu PH-Dap telah berjaya melemahkan momentum kita sebagai pembangkang yang kuat.

“Saya menyeru semua ahli UMNO supaya rapatkan saf dan hayati kembali asas perjuangan kita iaitu ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ serta mempertahankan ideologi parti.”

Tegasnya, setiap masalah dan perbezaan pendapat perlu diselesaikan melalui saluran parti

“Kita harus sedar musuh kita ialah PH bukannya sesama kita,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.