Kerajaan Melaka Angkuh Nafi Berlaku Krisis Air – Idris

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau tidak pernah mempolitikkan krisis air di Melaka.

Bahkan ujarnya, beliau benar-benar bertegas mengingatkan kerajaan negeri Melaka sejak tahun 2018 lagi, siapa yang sebenarnya mempolitikkan isu air sehingga menafikan semua gesaan dan saranan dari pihak pembangkang.

“Setiap kali DUN bersidang kami bangkitkan soalan berkaitan isu air dan minta kerajaan memberikan komitmen.

“Namun kerajaan bukan saja tidak menjawab soalan kami, bahkan dengan angkuh dan sombongnya menafikan berlakunya krisis air dan langsung tidak mengambil perhatian cadangan kami,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Ulas ADUN Sungai Udang itu lagi, beliau turut mempunyai beberapa fakta bagi mengukuhkan kenyataan dari pihaknya.

“Saya ada bukti kerajaan Johor tidak lagi membekal air ke Melaka pada masa itu, antara punca mengapa pengurusan air terencat dan tidak dapat dirancang dengan baik.

“Untuk makluman YAB CM (Ketua Menteri-Adly Zahari) dan YB Datuk Sofi (Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab), ketiadaan air hari ini bukan berlaku secara tiba-tiba, sudah pasti kecekapan kita merencana plan kontigensi boleh mengelak krisis ini menjadi lebih parah lagi.

“Tapi mungkin YAB CM dan YB ‘Air’ ni terlalu angkuh dan sombong agaknya, maka terimalah padahnya. Rakyat tetap juga derita dicatu air. Emak saya kata “sediakan payung sebelum hujan”,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.