Berfikirlah Secara Rasional, Jangan Emosional – Saarani

IPOH, 5 Feb – Setiap ahli mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing, namun biarlah ia dilontarkan secara rasional dan tidak bersifat emosional, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad.

Kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu, selagi pandangan itu rasional, beliau percaya ia akan didengar dan dinilai sebaiknya oleh pucuk pimpinan parti sebelum apa-apa keputusan besar dibuat.

“Jika kita terus berpolemik, bertelagah serta bercakaran dalam isu yang belum pasti ini, saya khuatir ia hanya akan menggambarkan seolah-olah kita sedang berada dalam keadaan lemah di mata pihak lawan.

“Saya tetap percaya bahawa kita semua mempunyai niat yang sama iaitu memastikan parti yang kita sayangi ini terus relevan dalam era politik yang semakin mencabar.

“Namun, janganlah nanti perbezaan pandangan yang dibuat secara emosional akan menjerumuskan kita dalam bahana perpecahan,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Saarani juga menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO Perak mesti bertenang dalam keadaan di mana telah tular berita kononnya akan wujud satu blok persefahaman antara UMNO dengan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerajaan perpaduan.

“Harus diingat bahawa perkara ini belum dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pimpinan parti.

“Apa yang kita dengar dan baca dalam media sosial hanyalah ‘andaian’ dan ‘tanggapan’ yang belum sahih,” tambah Ahli DUN Kota Tampan itu lagi.

Bagaimanapun ulasnya lagi, sebagai pemimpin dan ahli parti, adalah lebih baik untuk semua pihak menunggu sehingga mesyuarat Biro Politik dan Mesyuarat MKT yang akan diadakan diadakan pada 7 Feb ini untuk semua mendapat kepastian.

“Perjuangan kita masih panjang. Masih ramai di luar sana yang menaruh harapan kepada UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat yang kian tertindas dan dizalimi ketika ini.

“Jangan nanti perbalahan seperti ini menyebabkan kita longlai lalu tergelincir dari landasan perjuangan membela nasib rakyat.

“Insya-Allah, saya percaya, apa-apa pun keputusan yang akan dibuat akan mengambil kira pendapat dan pandangan semua peringkat termasuk akar umbi yang tidak pernah jemu berjuang bagi mengembalikan kekuatan parti,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.