Bukankah Kita Angkat Sumpah Kerahsiaan Parti? Bina Kekuatan, Bukan Cipta Kekusutan

KUALA LUMPUR, 4 Feb – “Masa kita diberikan amanah dan tanggungjawab, bukankah kita angkat sumpah kerahsiaan parti?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah, dipercayai merujuk kepada seorang MKT yang mendedahkan mesyuarat tertutup parti kepada umum.

Soalnya juga, jika kepimpinan tidak pegang pada sumpah pegang jawatan bagi kerahsiaan parti, apakah gunanya mengangkat sumpah.

“Perbuatan merakam perbincangan kepimpinan dan sebarkannya satu perbuatan yang tidak matang, malah merosakkan institusi parti.

“Parti ini milik akar umbi seluruh negara. Pandangan, cadangan , kritikan dan sebagainya harus ke arah membina kekuatan parti bukan sebaliknya.

“Bina kekuatan parti bukan cipta kekusutan parti,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ulas Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, sebagai pemimpin yang berstatus MKT, wujud saluran yang terbaik untuk memberikan pandangan, cadangan mahupun kritikan pada kepimpinan tertinggi.

“Bukankah akar umbi minta presiden tanya pendapat tentang isu-isu penting dalam perbincangan tertutup untuk dapat respon dan pandangan.

“Bila presiden buat sesi perbincangan bersama berpuluh kepimpinan untuk dapatkan pandangan, ada pulak yang rakam dan bocorkan.

“Bagi saya ini langgar prinsip sebagai pemimpin sebuah institusi,” bidasnya lagi.

Armand turut berkata, sebagai pemimpin mestilah mempunyai politik hikmah dan bukan hanya bertindak seolah-olah berani semata-mata. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit