PPSMI : Perubahan Sistem Pendidikan Negara Harus Berdasarkan Kajian Dan Data

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara harus berdasarkan kajian dan data, bukannya emosi serta ego mana-mana penguasa.

Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar), Ab Jalil Backer berkata kajian pelbagai pihak ke atas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketika kali pertama dilaksanakan menunjukkan dasar ini gagal sama sekali.

Malah kata beliau dalam masa yang sama negara telah mempunyai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan ini dibuat oleh pakar-pakar pendidikan bukannya mengikut nafsu politik mana-mana individu.

“Justeru tidak wajar Tun Dr Mahathir secara semberono mengarahkan perubahan yang bertentangan dengan perancangan sedia ada. Pengenalan semula PPSMI juga dijangka memerlukan perbelanjaan berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Tambah beliau adalah lebih baik Kementerian Pendidikan memfokuskan kepada peningkatan kualiti infra pendidikan terutama dari segi ratio guru dan pelajar serta keperluan teknologi moden dalam pembelajaran.

Memetik laporan, dilaporkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.