Pandemik Koronavirus: Pemimpin PH Jangan Serlahkan Kedangkalan, Kebodohan Sendiri

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil menggesa pemimpin-pemimpin dan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) agar berhenti dari cubaan untuk terus meremehkan pandemik wabak koronavirus dengan menyamakannya seperti denggi, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Ini kerana bidasnya, ia hanya akan menyerlahkan keaiban dan kedangkalan mereka sendiri sahaja.

“Dalam hal wabak virus berbahaya yang cepat merebak dan tiada ubat ini, adalah lebih baik kita bertindak ‘over-react’ atau mengambil tindakan berlebihan daripada kita ‘under-react’ atau mengambil langkah ‘wait and see’ atau tunggu dan lihat apa negara lain buat.

“Sebab jika kita lambat bertindak atau mengambil remeh risikonya adalah kematian nyawa rakyat,” tegasnya dalam satu lontaran di platform Facebook miliknya.

Isham turut merujuk kepada laporan terbaharu dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) yang mengisytiharkan bahawa pandemik wabak koronavirus yang sedang merebak adalah suatu “kecemasan atau darurat kesihatan awam di peringkat antarabangsa”.

Semalam Amerika Syarikat melaporkan kes Koronavirus pertama jangkitan individu ke individu (person-to-person) di negara itu yang mana ianya dikesan di bandaraya Chicago, 11,500 kilometer jaraknya dari Wuhan, China.

Dilaporkan juga, persatuan juruterbang-juruterbang syarikat penerbangan American Airlines sedang memfailkan saman ke atas syarikat penerbangan tersebut untuk menghentikan semua penerbangan ke China kerana ia adalah “membahayakan keselamatan penumpang dan anak-anak kapal”.

Setakat pagi ini, dalam tempoh seminggu 170 orang telah mati dan 7,834 kes telah dikesan, dua kali ganda dari dua hari lepas manakala 2,000 kes baru telah dilaporkan dalam 24 jam yang lalu.

Selanjutnya ulas Isham lagi, negara-negara lain mengambil tindakan segera bukan kerana mereka panik tidak tentu hala, namun kerana mereka tahu bahaya dan risiko kritikal yang menimpa rakyat mereka akibat virus tersebut.

“Jika kita mengambil mudah atau meremehkan perkara ini dan berlagak ‘cool’ tidak bertempat dengan hal ini dengan pelbagai alasan sindrom penafian, maka kita akan memperjudikan nyawa kita sendiri dan nyawa rakyat.

“Jika rakyat kita mati kerana sebab ini, maka kematian itu adalah kerana kebodohan pemimpin dan kerajaan kita,” tempelaknya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.