Nga Kor Ming, Dap Pamirkan Sikap Rasis Dan Cauvinis… Tidak Layak Jadi Timbalan Speaker

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Kenyataan Nga Kor Ming, Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, dalam akhbar Oriental Daily bahawa negara akan ditimpa malapetaka jika diperintah oleh PAS dan UMNO adalah kenyataan berbentuk hasutan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kenyataan berkenaan bertujuan menimbulkan kebencian sesama rakyat Malaysia dan temuramah yang disiarkan dalam akhbar berkenaan pada 29 Januari 2020, jelas memperlihatkan watak sebenar pimpinan Dap.

“Sikap beliau yang tidak berhenti-henti meniupkan isu perkauman dan keagamaan dengan tujuan menakut-nakutkan kaum lain supaya ada perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain sangat dikesali.

“Kenyataan sebegini menunjukkan Dap kekal sebagai parti rasis yang sentiasa mencipta isu perkauman ekstrem bagi survival mereka, sedangkan umum mengetahui ramai kaum Cina yang menyokong perjuangan UMNO dan PAS,” katanya dalam sati kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Katanya lagi kenyataan Nga bahawa “masyarakat Cina harus bersama Dap kerana kita satu kapal dan jangan bersorak seronok jika Dap tenggelam” adalah kenyataan provokasi yang sengaja dibuat bagi menimbulkan perasaan gelisah serta resah dan kenyataan sebegini sepatutnya disiasat kerana ia berunsur hasutan.

Tambahnya sepanjang UMNO bersama MCA dan MIC menjadi teras kerajaan Perikatan sejak Merdeka dan kemudiannya BN, tidak ada kaum Cina atau kaum lain yang “tenggelam” atau ketinggalan dalam ekonomi, pendidikan, perjawatan kerajaan mahu pun perniagaan.

“Hasil usaha Kerajaan BN kerana kekayaan negara dinikmati oleh semua kaum. Malah dalam banyak keadaan, masyarakat Cina lebih ke hadapan terutama dalam bidang kewangan dan perniagaan.

“Kemudian PAS pernah bersama BN dalam satu kerajaan selepas PRU 1974 sehingga 1978 dan tidak ada dasar yang merugikan kaum lain pun diamalkan ketika zaman itu. Begitu juga, semasa PAS menjadi kerajaan di Terengganu dan Kelantan, kebajikan dan kemajuan masyarakat Cina serta kaum lain turut terpelihara. Ini bukti UMNO dan PAS tidak meminggirkan kaum lain.

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk seluruh masyarakat Cina menolak watak pemimpin seperti Nga Koo Ming kerana beliau bukan sahaja memperlihatkan perwatakan cauvinis dan rasis tetapi juga berfikiran sempit serta bukan berjiwa rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ujar beliau lagi malahan, dengan sikap cauvinis dan fikiran sempit sebegitu, rakyat Malaysia sepatutnya sudah boleh berfikir, apakah beliau sesuai untuk terus menjawat jawatan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, institusi yang menyokong kedaulatan perlembagaan negara, untuk kesejahteraan semua kaum.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.