‘Perjuangkan Kepentingan Semua Kaum’? Hipokrasi Dap – Shahar

KUANTAN, 30 Jan – Di sebalik Dap yang berani mengugut kerajaan Pakatan Harapan, (PH) timbul persoalan adakah Nga Kor Ming selaku ahli Parlimen dan Timbalan Setiausaha Agung Dap, yang katanya memperjuangkan nasib semua kaum ikhlas dalam membela rakyat secara keseluruhannya, soal Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah.

Ini kerana bidasnya, amat banyak manifesto PH yang tidak terlaksana tetapi tiada pula Nga Kor Ming mahu bersuara.

“Tapi bila melibatkan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), terus melompat ugut nak tinggalkan PH.

“Nampak tak apa yang dimaksudkan dengan ‘perjuangkan kepentingan semua kaum’ oleh Dap?

“Inilah hipokrasi yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang,” tegas Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dilaporkan semalam, kecoh di media sosial apabila Malaysiakini mengeluarkan satu artikel bertajuk ‘Nga: Dap tak akan teragak-agak keluar k’jaan jika UEC tak diiktiraf’.

Ulas Shahar lagi, akhirnya seperti biasa apabila sudah terlepas cakap Pengerusi Dap Perak itu memberi alasan temubualnya disalah tafsir dan menyalahkan portal tersebut.

“Walhal dah ada video yang jelas memang beliau sebut Dap sanggup tinggalkan kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.

“Harap-harap lebih banyak pemimpin PH bersuara untuk gesa kepemimpinan anda tunaikan manifesto yang libatkan semua rakyat.

“Bukan perjuangkan hanya satu kaum atau kelompok,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.