Penutupan MAPS: Dr Zambry Sangkal Tuduhan, Sedia Ambil Tindakan Undang-undang

IPOH, 30 Jan – Sebaik sahaja penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), wujud cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, ujar bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah ‘Mini 1MDB’, pihak berkenaan melemparkan tuduhan serius mengaitkan dirinya dengan dakwaan skandal yang tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

“Saya mengalu-alukan sebarang laporan audit tentang kedudukan MAPS sejak 2013 hinggalah 2019.

“Setiap akaun tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu lagi, seperti yang semua sedia maklum MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam (public listed company) yang mana semua keputusannya berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

“Ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan.

“Dan saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat ini,” tegasnya.

Justeru kata Dr Zambry, beliau tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa sekiranya berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Malangnya, adalah amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap cubaan untuk berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya oleh individu dan pihak tertentu,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.