Isu TH: Pemuda UMNO Sekali Lagi Desak Tubuh RCI, PAC Perlu Buka Siasatan

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Pemuda UMNO hari ini sekali lagi mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara telus, bebas dan tanpa pengaruh politik akan keseluruhan dakwaan penyelewengan salah laku yang berlaku di dalam Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada masa yang sama pihaknya juga meminta agar Jawatankusa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk segera membuka siasatan berkenaan penjualan tanah-tanah ladang milik Tabung Haji Plantation (THP) kerana THP adalah anak syarikat TH dengan 74 peratus pegangan saham oleh TH.

“Kita juga bersama-sama dengan peguam sedang meneliti untuk memfailkan injuksi bagi menghentikan 11 lagi penjualan anak syarikat THP supaya kita boleh menyelamatkan lagi ladang-ladang yang dihasratkan untuk dijual.

“Kami diperingkat Pemuda UMNO juga mahu ditubuhkan segera RCI dan perkara ini kita akan meminta Ketua Penerangan Pemuda yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah sebagai wakil pemuda yang ada kerusi parlimen untuk membuat usul pada sidang parlimen akan datang. RCI ini juga adalah sebagaimana manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, keduanya PAC perlu membuka kertas siasatan segera berkenaan penjualan ladang-ladang THP ini dan juga isu defisit RM4.1 bilion telah meningkat kepada RM17.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Sebelum ini Pemuda UMNO telah membuat pendedahan berkaitan isu penjualan anak syarikat milik THP serta membuat laporan polis berkaitan tindakan Tabung Haji menukar jurunilai, kaedah nilaian yang dibuat sehingga nilai RM210 juta hilang dan proses penjualan anak syarikat Tabung Haji Plantation (THP).

Dalam perkembangan lain, pergerakan itu turut melahirkan kebimbangan berkenaan penularan wabak Novel-Coronavirus di negara ini dan meminta agar kerajaan pentadbiran PH untuk segera merangka pelan pemulihan yang komprehensif.

“Ianya agar tidak menjejaskan kestabilan rakyat dan memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi khususnya industri pelancongan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.