Dap Desak Iktiraf UEC: Budaya Samseng, Ugut ‘Indirect Signal’ Untuk Tun M

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Hariri Mohamed Noor berkata pengumuman Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ngar Kor Ming yang juga timbalan setiausaha agung Dap adalah sesuatu yang mencerminkan budaya samseng parti itu dalam mengugut tanpa menunggu suara majoriti.

Katanya, ianya adalah satu gerakan ‘indirect signal’ undi tidak percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menjadikan isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai alat pencetus.

“Betapa hebat dan lantangnya Kor Ming apabila menyatakan bahawa Dap sanggup keluar daripada kerajaan sekiranya UEC tidak diiktiraf. Seolah-olah ianya satu mesej daripada pimpinan tertinggi parti itu sendiri seperti Kit Siang mahupun Anwar Ibrahim.

“Isu UEC sengaja dibangkitkan kembali untuk meraih kepercayaan kaum Cina terhadap parti itu. Selain ingin menutup ‘kebobrokan dan kelemahan’ prestasi kementerian-kementerian di bawah Menteri Dap,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dilaporkan, semalam Kor Ming memaklumkan bahawa Dap akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf UEC.

Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas merasa bimbang sekiranya gerakan itu dapat menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir untuk akan akur dengan desakan Dap, maka Dap akan mendapat laba yang menguntungkan ‘political mileage’ kepada mereka.

“Kami mencabar Dap untuk menyatakan pendirian ini dengan sekeras-kerasnya dan keluar daripada kerajaan sebagai bukti mereka ini berpegang kepada prinsip,” ulasnya.

Tegasnya lagi, bagi menyelamatkan Malaysia, Tun Mahathir wajib memandang serius desakan Kor Ming dan perlu berani bertindak tegas kerana umum sudah tahu bahawa Dap yang menjadi punca keharmonian kaum huru-hara selama ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.