Muafakat Nasional: UMNO Dan PAS Terengganu Terus Mengorak Langkah Ke Depan

KUALA LUMPUR, 29 Jan – UMNO dan PAS Terengganu terus mengorak langkah dalam menjayakan Muafakat Nasional antara kedua-dua parti berkenaan di negeri tersebut apabila pada dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Muafakat Nasional di peringkat parlimen.

Ketetapan berkenaan diambil menerusi satu mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Peringkat Negeri Terengganu, semalam yang dihadiri oleh kedua-dua kepimpinan parti negeri terbabit termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Din Adam dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, YB Dr. Alias Razak.

“Rumusan mesyuarat Jawatankuasa Negeri pertamanya bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Muafakat Nasional di peringkat parlimen masing-masing secara bersama dan tarikh akhir Jawatankuasa Parlimen sehingga 29 Februari 2020,” kata Datuk Din Adam kepada UMNO-Online.

Katanya, hal berkenaan merupakan antara perkara yang dipersetujui menerusi mesyuarat antara kedua-dua parti terbabit.

“Kita juga akan mengadakan program bersama di peringkat parlimen bermula dengan Parlimen Kemaman, manakala mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri akan diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Walau bagaimanapun ianya boleh diadakan jika ada keperluan di antara kedua-dua belah pihak,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri akan dipengerusikan bersama antara UMNO dan PAS serta akan mengadakan mesyuarat secara bergilir sebagai pengerusi mesyuarat.

“Masa dan tempat akan ditentukan oleh giliran siapa pengerusi mesyuarat. Pengerusi di peringkat Parlimen akan dipengerusikan bersama oleh Ketua UMNO Bahagian dan Yang Dipertua PAS Kawasan.

“Alhamdulillah semoga usaha kedua-dua parti UMNO dan PAS Terengganu dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.