PH Perlu Ambil Langkah Konkrit: Wabak Koronavirus VS Tahun Melawat Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diseru segera mengambil langkah konkrit supaya nyawa rakyat diutamakan walaupun tahun 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, minggu ini telah heboh diperkatakan di seluruh negara melangkaui bandar dan desa, merentasi golongan tua dan muda, hatta rakyat umum, profesional jua agamawan memperlihatkan keprihatinan mereka terhadap wabak baru yang dilihat sangat bahaya.

“Dimana mana kita melihat ramai yang mengambil langkah berjaga-jaga paling tidak memakai penutup muka ‘mask’ sebagai ikhtiar perlindungan koronavirus dari menular. Ada pula yang berhujah bahawa virus dahsyat ini boleh menular melalui organ penglihatan iaitu melalui mata? Jika benar maka ‘mask’ juga tidak mampu menghalangnya.

“Apapun di Malaysia langkah Kerajaan PH melalui Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar dan pandangan suara beberapa orang menteri dilihat seolah-olah tidak melihat isu ini amat kritikal, sedangkan di satu pihak rakyat sedang bergelut kebimbangan sehingga ramai mula berkurung di rumah menyebabkan ‘mall’ dan tempat keramaian menjadi lengang,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.

Namun soalnya, bagaimana dengan alam persekolahan, pejabat awam, lapangan terbang jua sektor perkilangan yang ramai kakitangannya.

“Sejauh sekarang koronavirus belum ada ubat penyembuhnya dan ianya bergerak amat pantas menyerang mangsanya. Banyak negara memilih untuk menyekat rakyat dari negara wabak ini menular iaitu China khususnya di Wuhan.

“Langkah pencegahan oleh beberapa buah negara seumpama Filipina, Singapura, Indonesia, UK, Taiwan dan lain-lain negara di dunia memperlihatkan betapa seriusnya wabak ini.”

Sementara itu katanya sudah kedengaran mereka yang sudah disyaki pembawa dan penghidap akibat koronavirus.

“Justeru Kerajaan PH diseru segera mengambil langkah konkrit supaya nyawa rakyat diutamakan walaupun tahun 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia.

“Tahniah rakyat Malaysia kuasa netizen level 0,” sindir beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.