Koronavirus: Kerajaan Perlu Serius Jaga Nyawa Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) benar-benar serius menjaga nyawa rakyat dan tidak hanya melihat kepada pendapatan dari industri pelancongan.

Katanya, walaupun akhirnya kerajaan akur dengan tekanan rakyat yang mahukan menyekat pelancong dari China memasuki Malaysia apabila membuat keputusan untuk sekat pelancong dari Wuhan dan Hubei memasuki negara ini, namun itu tidak mencukupi.

“Ini kerana sepatutnya sekat semua pelancong dari negara China memandangkan wabak koronavirus telah merebak ke wilayah-wilayah lain di China,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Jelasnya, Menteri kesihatan dalam kenyataannya hari ini mengatakan tiada pesakit yang positif di Malaysia dari Wuhan kerana pihak berkuasa Wuhan telah menyekat rakyatnya keluar sejak 28 Januari.

“Namun terdapat tiga pesakit yang sedang dikuarantin di Johor yang bukan datang dari Wuhan tapi dari wilayah lain di China. Begitu juga di Langkawi dan pesakit yang didapati positif koronavirus di Malaysia semuanya dari wilayah luar Wuhan.

“Ini bermakna wabak koronavirus telah pun merebak ke wilayah-wilayah lain di China selain dari Wuhan dan Hubei.”

Maka tegasnya, tindakan kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan dan Hubei semata-mata tidak mencukupi.

“Kita mahu kerajaan membuat sekatan visa kepada semua pelancong dari negara China ke Malaysia.

“Ini bagi memberi sekatan yang lebih bermakna bagi memastikan wabak tersebut benar-benar mampu disekat,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera.

Dilaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sehingga tengah hari ini tiga kes baharu yang disyaki jangkitan koronavirus masih menunggu keputusan ujian makmal.

Daripada tiga orang yang dikendalikan di bawah kes-kes yang disyaki (PUI) melibatkan dua kes di Langkawi dan satu lagi di Bintulu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.