Koronavirus: PH Perlu Luaskan Sekatan Kepada Semua Warga China – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, atas desakan rakyat akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) umumkan penggantungan pengecualian visa dan ‘Visa on Arrival’ untuk warga China dari Wuhan dan wilayah Hubei sahaja.

Namun demikian beliau mempersoalkan kenapa tidak kepada seluruh warga China?

“Mohon Kerajaan dapat pertimbangkan untuk memperluaskan penggantungan visa dan ‘Visa on Arrival’ untuk seluruh warga China memandangkan Datuk Bandar Wuhan sendiri mengaku kelmarin bahawa lima juta penduduk Wuhan telah berjaya keluar dari bandar itu sebelum sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China bermula.

“Peluasan sekatan kepada semua warga China sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata sekali lagi kita merayu Kerajaan PH dapat mempertimbangkan hasrat hati rakyat yang rata-rata bimbang dan resah dengan penularan wabak yang amat merbahaya ini.

Dilaporkan, hari ini Kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan 2019 novel koronavirus di China khususnya di wilayah Hubei tersebut dan ia berkuat kuasa serta merta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.