Koronavirus: Kerajaan Perlu Batalkan Kemasukan Pelancong China

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan harus membatalkan kemasukan pelancongan dari China buat sementara waktu bagi mengekang penyebaran wabak coronavirus.

Jelas beliau, walaupun sektor pelancongan negara akan terjejas namun ia boleh dipulihkan kemudian kerana apa yang penting kini adalah nyawa rakyat Malaysia.

“Saya bersetuju dengan pendapat semua pihak yang menggesa Kerajaan Malaysia membatalkan kemasukan pelancong dari negara China buat masa ini bagi mengekang penyebaran wabak coronavirus.

“Sektor pelancongan yang bakal terjejas boleh dipulihkan kerana apa yang harus diutamakan sekarang ini adalah nyawa rakyat. Ini yang lebih penting,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Mahdzir, kerajaan harus mendengar suara rakyat kerana rakyat sudah mula merasa terancam dan bimbang tentang keselamatan mereka.

“Soal nyawa bukan soal yang boleh dibawa main ataupun dipolitikkan. Tiada kompromi dalam isu ini jadi mengapa sukar untuk kerajaan bertegas? Apa yang membuatkan kerajaan bertangguh?

“Alasan bahawa Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani virus tidak boleh diterima sekali. Jangan nanti rakyat memberontak apabila Malaysia mula mencatat kematian.

“Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar kes pencemaran Sungai Kim Kim. Akibat lambat mengambil tindakan, rakyat mula marah. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.