Tegakkan Keadilan Dari Kemungkaran Pimpinan PH – Hadi

BAGAN DATUK, 26 Jan – Presiden PAS, Datuk Seri Abduk Hadi Awang menjelaskan bahawa umat Islam harus menegakkan keadilan dari kemungkaran yang telah berlaku dan menyebabkan negara ini menerima musibah dari pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, inilah yang rakyat hadapi hari ini kerana PH gagal menunaikan janji dan pentadbirannya seakan-akan semakin melupakan kepentingan rakyat.

“Musibah yang menimpa negara dan rakyat walaupun mereka (PH) bergembira dengan kemenangan tetapi mereka tidak tahu hendak melaksanakan kemenangan dengan cara yang betul,” katanya semasa ceramah perdana Muafakat Nasional peringkat negeri Perak, malam tadi.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Muafakat Nasional, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Pengerusi UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Dalam pada itu Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan orang Melayu harus mempertahankan tanah air.

“Kita harus bersatu untuk dapatkan kuasa dan memerintah. Tanah air ini tanah air kita,” tegasnya.

Jelas beliau, keutamaan sekarang adalah untuk bersatu atas nama Islam dan kembalikan semangat perjuangan.

“Sinonimnya Islam dengan Melayu sehingga kuatnya orang Islam ini… sehingga kita sebut orang Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Begitu sekali rapatnya Melayu dengan Islam,” ujarnya.

Tegasnya, orang Melayu ini semangatnya laju lantas perlu bangkit semula dan sedarkan anak-anak Melayu betapa pentingnya politik ini demi perjuangan Islam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.