Koronavirus Bahaya: UMNO Gesa Kerajaan PH Utamakan Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Jan – UMNO minta Kerajaan Pakatan Harapan ‘PH’ segera mengambil langkah tegas berkaitan wabak koronavirus kerana kelewatan Kerajaan PH melakukan sesuatu maka rakyat yang akan menanggung masalah.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Kerajaan PH mesti meletakkan keutamaan apabila berhadapan dengan krisis seumpama ini, apatah lagi hampir kebanyakan pintu masuk utama ke Malaysia menerima kehadiran pelancong China.

“Oleh yang demikian Kerajaan PH mesti tingkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk ke Malaysia dengan membuat saringan ketat kemasukan pelancong atau sesiapa juga yang datang dari negara berkenaan.

“Langkah paling tepat ketika ini ialah menyekat atau menghentikan segera kemasukan warga China terutama pelancong dari negara berkenaan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, ini penting demi rakyat apatah lagi beberapa kes telah dilaporkan di Johor Baharu termasuk Langkawi.

“Malah pelbagai negara seperti Hong Kong, Britian, Rusia, dan beberapa negara lain telah bertindak cepat dan tegas termasuk menyekat kemasukan warga China ke negara masing masing.

“Semua ini menunjukkan betapa seriusnya wabak koronavirus. Apatah lagi dilaporkan oleh pelbagai pihak bahawa dengan cepat wabak ini mula merebak ke pelbagai negara.

“Ini membimbangkang pelbagai pihak kerana ia melibatkan nyawa manusia,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong meminta Kerajaan PH menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia dan kementerian serta jabatan atau agensi lain yang berkaitan mesti bertindak segera.

“Segala maklumat berkaitan mesti dikongsi bersama rakyat,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.