Hina Malaysia Di Ireland Utara: Waythamoorthy Harus Dipecat Segera

KEPALA BATAS, 26 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Reezal Merican Naina Merican mendesak agar Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waythamoorthy dipecat segera kerana sekali lagi telah mencemarkan nama baik Malaysia.

Jelas beliau, profail Waythamoorthy dalam majlis dialog “Dialogue With Minister Moorthy on the Review of Hate Crime Law In Northern Ireland” pada 23 Januari 2020, di Bangunan Parlimen Ireland Utara ternyata memberi gambaran yang salah mengenai suasana sebenar di Malaysia sekaligus tidak langsung mewakili suara perpaduan negara ini.

“Seorang rakyat Malaysia yang menyertai forum tersebut telah mendedahkan perkara ini. Profail yang diedarkan berkenaan Waythamoorthy secara jelas memberikan gambaran salah mengenai suasana sebenar di Malaysia.

“Ianya memberi gambaran bahawa Malaysia berada di dalam keadaan serba gawat, tidak menghormati prinsip hak asasi manusia, membenarkan pertukaran agama secara paksa dan berlakunya perobohan kuil secara berleluasa. Ini sangat melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Samada disengajakan atau tidak saya menganggap perkara ini sebagai tindakan yang biadap dan kurang ajar. Tindakan yang sama sekali tidak memberi gambaran yang benar dan cukup terpesong berkenaan Malaysia,” ujar beliau menerusi status yang dimuatnaik di laman ‘facebook’.

Tambah Reezal, Waythamoorthy sudah secara terbuka menghina nama baik Malaysia buat kesekian kalinya. Lebih parah, tindakan kali ini diambil ketika mana beliau menjawat jawatan Menteri dan mewakili Kabinet dan kerajaan Malaysia.

“Waythamoorthy telah menjadi liabiliti besar kepada Kabinet dan kerajaan sejak dari awal pelantikannya ke dalam Kabinet. Dengan apa yang berlaku ini, beliau sewajarnya diberikan nasihat untuk meletakkan jawatan atau dipecat seberapa segera kerana ini bukan pertama kali beliau bersikap biadap sebegini,” tegas Reezal. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.