Coronavirus: Kerajaan Harus Sekat Kemasukan Pelancong China – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Wanita UMNO Malaysia mendesak kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk segera menghalang kemasukan Pelancong China khususnya dari Wuhan bagi membendung penularan wabak coronavirus.

Jelas ketuanya Datuk Dr. Noraini Ahmad, Kerajaan seharusnya lebih prihatin dan mementingkan nyawa rakyat Malaysia memandangkan rekod telah menunjukkan tiga nyawa melayang kerana virus ini.

“Adakah kerajaan lebih mementingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 berbanding nyawa rakyat negara ini? Di kala negara-negara jiran telahpun mengambil tindakan menghalang pelancong China memasuki negara mereka, Malaysia pula seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya kepada pelancong China.

“Harus diingat ini bukan isu kecil dan ia adalah isu yang membabitkan nyawa manusia. Sepatutnya kerajaan bersikap tegas dengan mengambil tindakan menutup pintu kepada pelancong China.

“Benar, kerajaan telah mengambil langkah membuat pemeriksaan di pintu masuk negara tetapi sejauh mana langkah ini berkesan dan adakah ia mampu membendung penularan wabak ini? Jika cara ini berkesan sudah pasti negara lain yang terlibat dengan penularan coronavirus ini akan menggunakan cara yang sama tetapi ia jelas menunjukkan negara jiran lebih efeksyen dalam menjaga keselamatan nyawa rakyat mereka,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Noraini, sekiranya kerajaan masih ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN) dan mengambil tindakan yang sama seperti sekarang ini, sudah pasti PH sebagai pembangkang akan ‘melanyak’ BN semahu-mahunya.

“Jadi, PH perlu berfikir sebagai kerajaan dengan mendahulukan kepentingan rakyat, bukannya pelancong luar… ibarat kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan,” bidas beliau.

Untuk rekod, semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan tiada rancangan untuk melarang pelancong China memasuki negara ini.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mengesahkan tiga daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru positif koronavirus atau disebut juga Wuhan koronaviru.

Ketiga-tiga pesakit itu, yang diasingkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh adalah keluarga rapat kepada seorang lelaki warga China berumur 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapuara pada 20 Januari dan disahkan pada 23 Januari sebagai kes pertama Singapura dengan individu yang sah positif mengalami virus itu.

Ketiga-tiga kes positif itu di Malaysia terdiri daripada isteri pesakit di Singapura, 65, dan dua cucu pasangan berkenaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.