Pemuda UMNO Damansara Lancar #UbahBalik Dekati Pengundi Muda Demi Menang PRU-15
DAMANSARA, 25 Jan – Demi memastikan UMNO terus diterima oleh anak muda seterusnya mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pemuda UMNO Damansara melancarkan gerak kerja ‘ubah balik’ yang menggunakan #UbahBalik.
Ketuanya Amin Mohd Shukor berkata, gerak kerja ini bakal bertindak dengan lebih agresif dalam merangka segala persiapan bagi menghadapi PRU-15.
“Secara konsensusnya mesyuarat Pemuda UMNO Damansara jumaat lalu melancarkan #UbahBalik dengan memberi fokus kepada asas gerak kerja berlandaskan asas akidah serta Islam yang syumul bermula membangkitkan kesedaran kepada anak muda yang bakal mengundi. Ini penting untuk menyedarkan kepentingan kuasa sebagai pengundi.
“Melalui #UbahBalik ini juga Pemuda UMNO Damansara akan menjalankan gerak kerja yang lebih efektif dan progresif dalam mendekati rakyat dan pengundi khususnya pengundi muda. Kita tidak mahu lagi menjalankan aktiviti ‘syok sendiri’ yang membuang masa dan tidak memberi impak positif kepada parti.
“Selain itu, Pemuda UMNO Damansara juga akan memperkasakan elemen ‘parti centhric’ dalam setiap tindakan serta keluar dari zon selesa bagi menunjukkan UMNO ini inklusif bagi mendekati masyarakat, rakyat dan pengundi muda,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Amin, melalui #UbahBalik juga, Pemuda UMNO Damansara akan menjadi pembangkang yang konstruktif dalam membina semula keupayaan seterusnya meraih keyakinan anak muda agar terus mempercayai kredibiliti parti keramat ini sebagai parti yang paling layak menjadi tonggak negara.
“Kita akan sentiasa optimis dalam usaha meremajakan parti serta progresif dan reallistik dalam melahirkan pelapis pemimpin masa depan, kerana itulah kita akan lebih meraikan perbezaan pandangan dan pendapat dalam merangka gerak kerja.
“Banyak lagi yang kita akan lakukan melalui #Ubahbalik ini tetapi apa yang penting kita akan mengutamakan hasil pelaksanaan berbanding perancangan semata-mata, biar realistik asal bukan retorik,” tegas beliau. – UMNO ONLINE