Koronavirus: PH Pentingkan Tahun Melawat Malaysia Atau Rakyat?

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Isu Koronavirus, jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) lambat melakukan sesuatu rakyat yang akan menanggung masalah, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ujarnya, kejadian tahun lalu di Pasir Gudang sehingga menyebabkan ramai pihak menerima kesan yang berpunca daripada sisa bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim menunjukkan kelemahan kerajaan PH bertindak dengan cepat di mana akibatnya rakyat menerima bahana.

“Maka, keselamatan rakyat mestilah diutamakan. Untuk apa pentingkan Tahun Melawat Malaysia 2020 jika nyawa rakyat sendiri terancam?

“Kerajaan PH mesti meletakkan keutamaan bila berhadapan dengan krisis seumpama ini.

“Apatah lagi hampir kebanyakan pintu masuk utama ke Malaysia menerima kehadiran pelancong China,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh yang demikian gesanya, kerajaan PH mesti meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk ke negara ini dengan membuat saringan ketat kemasukan pelancong atau sesiapa juga yang datang dari negara berkenaan.

“Kerajaan China sendiri telah mengadakan sekatan kepada jutaan rakyatnya di Wilayah Wuhan China. Segala bentuk pengangkutan ke daerah ini dihentikan.

“Semua ini menunjukkan betapa seriusnya wabak koronavirus. Apatah lagi dilaporkan oleh Reuters bahawa dengan cepat wabak ini mula merebak ke wilayah lain termasuk Beijing dan Shanghai. Ini membimbangkan pelbagai pihak,” tambah Ahli Parlimen Lenggong itu lagi.

Dr Shamsul juga meminta kerajaan PH menerusi Kementerian Kesihatan dan kementerian serta jabatan atau agensi lain yang berkaitan mesti bertindak segera dan segala maklumat berkaitan mestilah dikongsi bersama rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.