Semangat Muafakat Nasional Semakin Subur – Zahid
KUALA LUMPUR, 24 Jan – Semangat Muafakat Nasional semakin subur, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu hantaran di Facebook, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata Muafakat Nasional juga berpaksikan kepada keikhlasan memperjuangkan nasib rakyat.
“Muafakat Nasional berpaksikan keikhlasan memperjuangkan nasib rakyat yang semakin dikesampingkan.
“Muafakat Nasional wujud untuk semua,” tambahnya sambil menyatakan komitmen ‘Saya Hadir’ ke Konvensyen Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perak, Esok Sabtu, 25 Jan di Bagan Datuk, Perak.
Dengan tema ‘Muafakat Menuju Kemenangan’, konvensyen yang bermula awal pagi di Kompleks UMNO Bagan Datuk itu akan menampilkan pembentangan kertas kerja serta perbahasan dari wakil-wakil UMNO dan PAS manakala di sebelah petangnya pula majlis penutup dan penyerahan resolusi yang akan dihadiri selain Dr Ahmad Zahid, adalah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada sebelah malam pula, diadakan ceramah perdana yang mana kedua-dua presiden parti akan menyampaikan ucapan selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Ustaz Razman Zakaria.
Untuk rekod, pada 14 Sept tahun lalu tercatat sejarah yang cukup besar buat negara apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.
Antara komitmen Piagam Muafakat Nasional adalah seperti menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.
Begitu juga mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan. – UMNO ONLINE