Letaklah Jawatan… Guan Eng Penyebab Utama PH Gagal Tadbir Negara

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Amin Shukor menganggap antara punca utama Pakatan Harapan (PH) gagal mentadbir negara ini dengan baik adalah kerana negara mempunyai seorang Menteri Kewangan yang sering silap mengira dan tersalah titik perpuluhan.

Katanya, PRU-14 menjadi saksi rakyat dibuai mimpi indah dengan pelbagai janji manis dan perubahan positif yang dijanjikan oleh PH dan dek karana mahukan kehidupan yang lebih baik akhirnya rakyat mengambil tindakan drastik menumbangkan sebuah kerajaan yang selama ini mendengar denyut nadi rakyat.

“Tetapi apakah impian rakyat ini menjadi kenyataan? Adakah PH gagal mentadbir negara ini kerana kegagalan BN menjadi kerajaan yang baik? Sudah pasti tidak kerana BN meninggalkan defisit kewangan yang baik sebelum PH merosakkan segalanya.

“Apakah asas yang menyebabkan PH gagal mentadbir negara ini dengan baik? Antara punca utamanya adalah kerana negara mempunyai seorang Menteri Kewangan yang sering silap mengira dan tersalah titik perpuluhan,” katanya dalam kenyataan media.

Tegas beliau, Lim Guan Eng adalah individu yang sepatutnya dipersalahkan kerana gagal mentadbir kewangan negara malah Guan Eng juga telah menyebabkan kejatuhan nilai ringgit, saham di Bursa Malaysia merudum dan kekurangan pelaburan di negara ini.

“Sikap Menteri Kewangan yang tidak habis berpolitik dalam mengurus ekonomi negara memberi kesan amat tidak baik dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya hinggakan para pelabur juga semakin hilang keyakinan kepada negara kerana dasar kerajaan yang sentiasa berubah ibarat sesumpah.

“Pelabur mana yang mahu melabur dan mengambil risiko sekiranya melihat dasar kewangan negara yang tidak kukuh termasuk langkah kebelakang kerajaan yang pemberhentian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Tindakan populis PH ini juga telah menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan masih menyaksikan penurunan sekarang.”

Bidasnya, kerana kegagalan PH ini, satu juta peluang pekerjaan yang dijanjikan dalam manifesto PH juga tidak tercapai malah kini kadar pengangguran semakin meningkat.

“Sebagai seorang menteri kewangan, apa tindakan Guan Eng bagi memulihkan ekonomi negara yang semakin menguncup? Jawapannya tidak ada. Apa yang ada hanyalah meletakkan segala kesalahan kepada pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya tidak meminta anda untuk mempercayai apa yang saya katakan tapi tolonglah lakukan kajian. Bukan susah, sekarang ini semua maklumat dihujung jari kerana kita sekarang berada dalam dunia internet tanpa sempadan.

“Mungkin ada yang mengatakan BN juga tidak sempurna dan melakukan banyak kesalahan dan kesilapan. Ya… saya tidak nafikan tapi setidak-tidaknya BN tidak pernah menjadi sebuah kerajaan yang zalim sehingga menindas rakyat.”

Justeru, tegasnya Guan Eng patut meletak jawatan dan bertanggungjawab di atas kegagalannya menjana ekonomi negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.