Kit Siang: Sila Cermin Diri Dahulu – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Exco pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menggesa Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang serta pimpinan Dap agar cermin diri sendiri dan janganlah menjejaskan keharmonian negara.

Katanya, kenyataan-kenyatan Kit Siang selalunya berbaur rasis dan mencetuskan perpaduan kaum yang dipupuk sekian lama malah budaya yang dibawa oleh Dap bercanggah dengan kedaulatan negara.

“Saya ingin mengingatkan kepada Kit Siang dan pemimpin Dap lain supaya cermin diri dahulu sebelum berkata tentang penghayatan prinsip Rukun Negara. Dap sememangnya terkenal dengan membawa budaya ekstremis yang menentang Rukun Negara.

“Dap tidak menghormati prinsip Rukun Negara apabila cuba menghidupkan kembali dan mengiktiraf ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) yang jelas telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, tindakan Dap-PH yang konsisten ini untuk memansuhkan SOSMA juga secara tidak langsung membuka ruang kepada penyebaran ideologi liberalisme, terorisme dan komunisme yang akhirnya akan memecahkan perpaduan dan mengancam keselamatan negara.

“Tidak menghormati prinsip Rukun Negara, kedaulatan undang-undang melalui pelbagai campur tangan politik dalam kes yang melibatkan ahlinya. Sebagai contoh kes LTTE dan Wan Ji Wan Hussin yang akhirnya mencabul kedaulatan undang-undang negara.

“Kit Siang mengatakan terdapat segelintir individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur ekstremis sehingga menimbulkan pepecahan sedangkan perpecahan yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada Dap-PH,” tegasnya.

Katanya, rakyat tidak akan lupa kenyataan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang mengatakan gabungan UMNO-PAS akan menjadikan Malaysia seperti negara Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti membentuk kerajaan.

“Dap ibarat ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’ kerana memainkan sentimen ekstremis dan rasis. Ia juga menjadi punca utama kegagalan kerajaan PH mentadbir negara,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.