Kerajaan Negeri Selangor Tidak Serius Selesaikan Masalah Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Wakil pembeli Rumah SelangorKu (RSKU) Zulhilmi Harun, 38, merasa kecewa dengan sikap kerajaan negeri Selangor yang terus membiarkan pembeli RSKU terkapai-kapai.

Jelas beliau, sewajarnya kerajaan negeri haruslah bertanggungjawab dalam membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh pembeli rumah tersebut.

“Apa yang dilakukan sebelum ini seolah-olah tidak menampakkan kerajaan negeri begitu serius menangani isu ini apatah lagi untuk membantu masalah pembeli. Jawapan yang diberikan juga tidak menyakinkan.

“Kita tak nampak peranan Lembaga Perumahan Harta Selangor (LPHS) dalam menyelesaikan masalah ini. Mereka umpama menyalahkan pembeli sedangkan majoriti yang membeli melalui kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada media, hari ini.

Turut serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima kunjungan dari pembeli RSKU di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Zulhilmi yang juga pekerja swasta berharap pihak dua firma guaman iaitu The Chamber of Chong and Co dan juga Keay and Co yang dilantik oleh kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini dengan kadar segara.

“Dua firma guaman seumpama ‘lepas tangan’ dan gagal menangani isu ini. Mereka seolah-olah tidak mahu ambil tahu nasib pembeli sedangkan sewajarnya firma guaman tersebut mewakili pembeli.

“Bayaran pun sudah dibuat kepada peguam tetapi hari ini peguam yang dilantik terus mendiamkan diri,” tegasnya dengan rasa kecewa. – UMNO ONLINE